Saya ingin menyentuh perkara B4 mengenai Suruhanjaya Pilihanraya di bawah butiran 010000 Urusan Pilihan Raya dan 040000 “One Off”.
Seperti yang kita maklum, Objektif SPR adalah untuk merancang dan mengendalikan sistem pilihan raya yang adil, cekap dan telus.
Antara strategi SPR dalam Maksud Bekalan 4 di dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2016 ini ialah mengkaji semula peralatan pilihan raya, borang pilihan raya, proses pendaftaran pemilih, filem latihan pendaftaran pemilih dan perjalanan pilihan raya bagi mengurangkan kos pilihan raya.
Merujuk kepada Aktiviti 4: Pejabat Pilihan Raya Negeri, Anggaran bilangan Daftar Pemilih ialah seramai lebih 15.2 juta pengundi. Di Sabah, ia mencatat anggaran seramai 1,110,760 pemilih.
Dari laporan RCI Pendatang Asing di Sabah, ia mendedahkan terdapat anggaran 600 IC yang bermasalah. Isu pemberian IC kepada warga asing bukan lagi rahsia.
Pada tahun 1995, kita digemparkan dengan penahanan 15 Pegawai Pendaftaran Negara melibatkan isu pemberian Kad Pengenalan Biru. Ini baru satu kes dari banyak kes yang didedahkan. Masih banyak lagi yang dilaporkan sama ada melalui media ataupun RCI.
Terdapat banyak sebab bagaimana warga asing mendapat IC dengan mudah. Pertamanya kerana sindiket menjual IC, keduanya ialah Projek IC untuk tujuan politik.
Apabila ‘warganegara ekspress’ ini digunakan pihak tertentu untuk mengundi dan menentukan masa depan negara, ia amat bahaya dan tidak wajar.
Saya ingin bertanya, adakah pemegang IC meragukan ini seperti yang dilaporkan RCI telah dibersihkan? Dan adakah peruntukan kewangan dibawah perkara B4 ini melibatkan urusan kemaskini daftar pemilih?
Jika SPR benar-benar berintergriti dan komited untuk membersihkan daftar pemilih dari kad pengenalan yang meragukan, SPR perlu memberi komitmen supaya Seksyen 9A Akta Pilihanraya 1958 dimansuhkan.
Ini kerana Seksyen 9A telah menghalang rakyat daripada mencabar kesahihan daftar pemilih melalui proses mahkamah walaupun ia membabitkan kepentingan awam.
Saya tidak mahu, peruntukan sebanyak lebih RM150 juta dalam perkara B4 ini tidak mampu memberikan keadilan dan ketelusan bagi memelihara system demokrasi berparlimen di Malaysia.