Skip to content

Hadi telah membuktikan dirinya sebagai seorang pemimpin politik yang tidak mempunyai sebarang rasa kesal untuk menggunakan penipuan, fitnah, dan berita palsu yang cuba membawa satu versi Islam yang bersifat ekstremis dan tidak bertoleransi dan bukannya moderat

Presiden PAS, Hadi Awang, telah membuktikan dirinya sebagai seorang pemimpin politik yang tidak mempunyai sebarang rasa kesal untuk menggunakan penipuan, fitnah, dan berita palsu yang cuba membawa satu versi Islam yang bersifat ekstremis dan tidak bertoleransi dan bukannya moderat.

Semalam adalah hari di mana Hadi sepatutnya bercakap panjang lebar memandangkan semalam adalah Hari Antarabangsa Menentang Islamofobia, hari yang ditetapkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menentang Islamofobia.

Apakah itu Islamofobia?

Islamofobia telah ditakrifkan sebagai ketakutan, prejudis, dan kebencian terhadap orang Islam yang membawa kepada provokasi, permusuhan, gangguan, hasutan, dan ugutan terhadap orang Islam dan orang bukan Islam, baik di dunia atas talian atau dunia sebenar.

Dimotivasikan oleh permusuhan institusi, ideologi, politik, dan keagamaan yang merentasi rasisme struktural dan kebudayaan, Islamofobia menyasarkan simbol dan tanda-tanda menjadi seorang Muslim.

Takrifan ini menekankan hubungan di antara tahap Islamofobia di peringkat institusi dan manifestasi sikap-sikap ini apabila dicetuskan oleh keterampilan identiti Muslim mangsa.

Pendekatan ini juga menafsirkan Islamofobia sebagai satu bentuk rasisme, di mana agama, tradisi, dan budaya Islam dilihat sebagai satu “ancaman” kepada nilai-nilai Barat.

Sesetengah pakar lebih gemar menggunakan label “kebencian anti-Muslim” kerana mereka bimbang terma “Islamofobia” berisiko mengecam semua bentuk kritikan terhadap Islam dan berpotensi menyekat kebebasan bersuara.

Tetapi, undang-undang hak asasi manusia antarabangsa melindungi individu, dan bukannya agama. Islamofobia juga berpotensi untuk memberikan kesan kepada orang bukan Islam melalui persepsi latar belakang kewarganegaraan, perkauman, atau etnik.

Namun, Hadi telah satu langkah lagi ke hadapan apabila dia mengatakan sesiapa yang mempersoalkan kepimpinannya sebagai bersifat Islamofobik.

Sudah empat bulan berlalu sejak dia mula membuat tuduhan tidak masuk akalnya yang mengatakan kononnya DAP bersifat anti Melayu, anti Islam, komunis, dan mempromosikan Islamofobia, tetapi sehingga hari ini dia masih gagal untuk menunjukkan satu pun bukti untuk tuduhannya ini.

Saya boleh bercakap tanpa perlu risau dengan percanggahan yang selepas enam dekad usaha membina negara bangsa Malaysia, sejumlah majoriti besar rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, menerima yang Malaysia adalah sebuah negara majmuk berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya.

Tidak ada sebarang fobia terhadap mana-mana kaum atau agama dalam Malaysia kecuali dalam kalangan pihak pelampau.

Majoriti rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama menerima prinsip pembinaan negara dengan Islam sebagai agama rasmi negara dan kebebasan untuk mengamalkan agama-agama lain dijamin seperti yang termaktub dalam Perlembagaan persekutuan dan Rukun Negara.

Saya pernah berkali-kali bertanya kepada Hadi sama ada dia menerima kedudukan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara mengenai Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan kebebasan beragama untuk semua kepercayaan lain, dan juga mengenai keluhuran Perlembagaan tetapi saya tidak pernah menerima sebarang jawapan.

Pada Hari Menentang Islamofobia 2023, Hadi sangat senyap, sementara Perdana Menteri Anwar Ibrahim lantang mengecam Islamofobia dan semua bentuk kebencian dan keganasan terhadap mana-mana individu berasaskan latar belakang agama atau kepercayaan serta menyatakan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan komuniti antarabangsa secara konstruktif untuk menentang Islamofobia.

Manakala Menteri Luar Negeri, Zambry Abdul Kadir, berikrar yang Malaysia tidak akan membiarkan Islamofobia untuk terus berleluasa kerana perkara ini akan mencemarkan nama negara dengan pencabulan hak asasi manusia.

Dia menekankan yang orang Islam berhak untuk menganuti kepercayaan masing-masing tanpa perlu risau mengenai diskriminasi, penindasan, dan ugutan kerana hak untuk menganuti dan mengamalkan kepercayaan masing-masing termaktub dalam undang-undang antarabangsa sebagai hak asasi manusia.

Tetapi Hadi terus berdiam diri pada Hari Menentang Islamofobia 2023.

Rakyat Malaysia perlu terus berhati-hati dengan oportunis politik yang menggunakan penipuan dan fitnah mengenai Islamofobia untuk membawa kepentingan politik mereka, bukan untuk mana-mana agama, sebaliknya hanya demi kepentingan sendiri.

Saya telah menyeru supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan tidak masuk akal Hadi yang mengatakan ada Islamofobia di Malaysia, yang dia sendiri tidak pernah laporkan kepada Pemerhati Islamofobia Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) semasa dia menjadi Duta Khas Perdana Menteri bertaraf Menteri yang dibayar RM60,000 sebulan.

Adakah Hadi bersetuju dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Islamofobia di Malaysia, dengan kehadirannya untuk membentangkan kesnya?