Skip to content

Hak Israel untuk wujud sebagai sebuah Negara tidak sepatutnya lahir dengan keganasan dan pembunuhan beramai-ramai warga Palestin tetapi hendaklah dengan nilai-nilai kemanusiaan dan hormat terhadap kehidupan dan maruah manusia

Keganasan, pertumpahan darah dan kehilangan nyawa di Tebing Gaza semakin menjadi-jadi. Dalam satu serangan balas Israel terhadap perluru berpandu yang dilancarkan Hamas, lebih 40 orang termasuk wanita dan kanak-kanak dilaporkan telah terbunuh dan bilangannya terus meningkat.

Ini berikutan protes ganas yang tercetus akibat kematian tiga remaja warga Israel dan pembunuhan seorang remaja Palestin, Mohammed Abu Khdair. Awal minggu ini, kepimpinan Hamas menyeru satu gencatan senjata untuk menamatkan pertempuran dan menamatkan apa yang dikatakan sebagai campur tangan Israel dalam kerajaan perpaduan Hamas dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Bagaimanapun, seruan gencatan senjata Hamas disambut dengan lebih banyak serangan roket daripada Israel, dan diikuti dengan serangan balas daripada Hamas juga. Oleh itu, keadaan kini semakin tidak terkawal dan ramai orang awam, termasuklah kanak-kanak dan wanita menjadi korban.

Setakat ini hanya wanita dan kanak-kanak Palestin yang menderita dengan musnahnya rumah dan kehidupan mereka. Mengambil kira kehebatan persenjataan Israel, timbul persoalan terhadap kadar serangan balas Israel yang memperlihatkan hanya warga Palestin yang terkorban sedangkan warga Israel terus selamat.

DAP mengecam tindakan gasar kerajaan Israel membunuh kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa. DAP mendesak masyarakat antarabangsa, terutamanya Amerika Syarikat, untuk campur tangan segera bagi menghentikan jumlah kematian di Tebing Gaza daripada terus meningkat sebelum keadaan bertukar menjadi kancah perang yang akan meragut beribu-ribu nyawa tidak berdosa.