Skip to content

Hampir 40 surat bantahan terhadap larangan pemanduan kenderaan barangan di Cameron Highlands diterima

Saya menyeru Kementerian Kerja Raya dan agensi kerajaan berkenaan agar meneliti surat bantahan yang dihantar oleh para pekebun serta pertubuhan-pertubuhan pertanian di Cameron Highlands. Saya juga memohon jasa baik pihak Kementerian agar tidak melaksanakan larangan pemanduan kenderaaan secara tergesa-gesa demi melindungi rangkaian logistik makanan dan tidak menjejaskan usaha kerajaan dalam peningkatan tahap keselamatan makanan negara kita.

Baru-baru ini, Kementerian Kerja Raya mengeluarkan notis Warta Persekutuan yang menyatakan cadangan untuk membuat suatu perintah di bawah Seksyen 70 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), yang kesannya akan melarang pemanduan atau penggunaan kenderaan barangan di atas Laluan 59, Jalan Tapah-Cameron Highlands dari koordinat U 4.518469, T 101.427908 hingga U 4.425714, T 101.386706, dari jam 10 pagi hingga 3 petang dari setiap hari Jumaat hingga Ahad (termasuk hari kelepasan am dan cuti sekolah), yang akan berkuat kuasa mulai 7 Februari 2023.

Setelah cadangan larangan tersebut diumumkan, para pekebun dan pemandu kenderaan sayuran hanya diberi masa lebih kurang seminggu untuk menghantar surat bantahan. Tarikh terakhir untuk menghantar surat bantahan adalah 27 Junuari 2023.

Selain itu, tiada sebarang sesi dialog atau penjelasan diadakan sebelum notis Warta Persekutuan tersebut dikeluarkan.

Keadaan ini telah menimbulkan kekeliruan dan banyak persoalan dalam kalangan pekebun dan pemandu kenderaan sayuran.

Pekebun dan pengusaha logistik terpaksa menulis dan menghantar surat bantahan kepada Kementerian dalam masa yang singkat, dan pihak Pusat Khidmat DUN Tanah Rata telah menerima hampir 40 salinan surat bantahan hanya dalam beberapa hari ini.

40 salinan surat bantahan yang pihak kami terima tidak termasuk surat-surat bantahan yang dihantar terus kepada pihak Kementerian Kerja Raya. Dengan kata lain, jumlah pekebun dan pemandu kenderaan sayuran yang membantah larangan ini adalah jauh lebih tinggi.

Para pekebun dan pengusaha logistik khuatir bahawa larangan ini bukan sahaja akan menjejaskan aktiviti pertanian Cameron Highlands dan rangkaian logistik, tetapi berkemungkinan membawa impak besar terhadap pasaran sayuran secara amnya.

Oleh sebab sayuran merupakan makanan yang mudah rosak (perishable food), pekebun dan penghantar sayuran perlu menuai dan menghantar sayuran ke pasaran di seluruh Malaysia dalam masa yang paling singkat demi menjamin kesegaran sayuran.

Maka, larangan tersebut akan menambah halangan ke atas rangkaian logistik makanan, menjejaskan kesegaran sayuran di pasaran, serta berkemungkinan meyumbang kepada kekurangan bekalan sayuran.

Situasi ini akhirnya akan memudaratkan hak para pembeli sayuran dan pengguna serta menjejaskan usaha kerjaaan untuk meningkatkan tahap keselamatan makanan.

Justeru, saya dengan ikhlasnya memohon jasa baik pihak Kementerian Kerja Raya agar tidak melaksanakan larangan ini dengan tergesa-gesa dan haruslah meninjau pendapat kesemua pihak yang terlibat demi melindungi dan menjamin kelangsungan sekuriti bekalan makanan Malaysia.

Pautan tentang Notis Warta Persekutuan:
https://www.facebook.com/100064670472791/posts/pfbid0FoA76pQwEX8Q1nDhXCcXvjjFVnuKBBPMkv17fM6AadGkDSx7bRNBNUJX1tzQLN57l/?mibextid=cr9u03