Kemiskinan di kalangan para belia adalah sesuatu perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan. Mengikut maklumat yang diberikan oleh Kementerian Kewangan seramai 3, 631, 394 orang belia di bawah umur 40 tahun merupakan penerima BRIM daripada jumlah keseluruhan iaitu 7, 286, 268 orang. Ini bermakna 49.8% daripada penerima BRIM adalah terdiri daripada golongan belia miskin di negara kita.
Golongan belia ini perlu dibantu untuk meningkatkan pendapatan mereka jika kita benar-benar mempunyai hasrat untuk menjadikan negara kita sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020. Tidak ada makna kita mencapai status negara maju tetapi sebilangan besar daripada golongan belia menerima pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.
Pada masa ini, mengikut rekod yang ada seramai 2,286,126 orang belia mendapat gaji kurang daripada RM3000 sebulan. Kemungkinan besar, jumlah yang sebenar adalah lebih tinggi daripada jumlah yang direkodkan sebagai penerima BRIM di bawah kategori individu bujang berpendapatan kurang daripada RM2,000 ke bawah.
Golongan belia miskin ini perlu dibantu dengan segera supaya mereka tidak terlibat dalam gejala-gejala sosial yang boleh membawa kemudaratan kepada diri dan keluarga mereka. Penglibatan belia dengan anasir-anasir jahat juga akan memdorong mereka melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang bertentangan di sisi undang-undang.
Persaingan dan tekanan hidup yang melampau seperti kenaikan harga barangan ataupun inflasi juga boleh mendorong golongan ini menyertai kegiatan-kegiatan haram seperti kongsi gelap dan sebagainya. Mereka akan mencari sumber pendapatan alternatif yang mudah dan lumayan walaupun puncanya salah di sisi undang-undang.
Oleh yang demikian, kerajaan harus mengambil langkah-langkah positif untuk membantu golongan ini meningkatkan pendapatan mereka. Memberi BRIM kepada golongan belia tidak akan menyelesaikan masalah sosio-ekonomi yang dihadapi oleh golongan ini. Perlu ada pendekatan yang lebih komprehensif dan inklusif dalam membantu golongan ini meningkatkan pendapatan mereka. Belia adalah tulang belakang negara kita. Kualiti belia kita juga bergantung kepada pendapatan yang mereka perolehi. Selamatkan belia kita untuk selamatkan negara.