Skip to content

Hanya 2.34% daripada kemalangan melibatkan kenderaan berusia lebih daripada 10 tahun

Pada bulan November 2013, Menteri Pengangkutan telah dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengharamkan kenderaan melebihi 10 tahun daripada menggunakan jalan raya untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Walaubagaimanapun, angka-angka di bawah yang diberikan dalam jawapan kepada soalan saya di Parlimen pada 24 Mac 2014 menunjukkan cadangan itu adalah tidak kukuh dan tidak berdasarkan bukti saintifik yang nyata.

Usia Kenderaan 2009 % 2010 % 2011 % 2012 % 2013 %
10 294,942 8.6 358,632 9.7 421.985 10.5 445,776 10.2 443,917 9.4
11-20 2,161,187 63.2 2,331,918 62.9 2,514,073 62.4 2,740,336 62.8 3,037,787 64.6
21-30 965,651 28.2 1,014,093 27.4 1,089,395 27.1 1,176,622 27 1,218,324 26
Jumlah 3,421,780 100 3,704,643 100 4,025,453 100 4,362,732 100 4,700,028 100

Pada tahun 2012, terdapat sejumlah 22,702,221 kenderaan yang berdaftar di Malaysia. Sebanyak 19.2% (4,362,732) daripada jumlah kenderaan tersebut pula berusia antara 10 hingga 30 tahun.

Data daripada Sistem Analisis dan Pangkalan Data Kemalangan Jalan Raya MIROS (MROADS) menunjukkan terdapat 642,157 kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2012. Daripada jumlah ini, hanya 477,637 kenderaan mempunyai rekod tahun pembuatan yang berkenaan. 73.53% (351,187) daripada jumlah ini pula ialah motokar. Butirannya adalah seperti di bawah ini:

2012 0-5 6-10 11-15 16-20 21-25 26-30 Jumlah
Bilangan 333,180 9,784 5,161 2,042 696 324 351,187
% 94.87% 2.79% 1.47% 0.58% 0.20% 0.09% 100%

Jadual di atas menunjukkan bahawa 97.66% daripada kemalangan yang berlaku melibatkan motokar yang berusia 10 tahun ke bawah. Ini jelas menunjukkan bahawa usia kenderaan bukanlah punca utama kemalangan di jalan raya. Malah, kebanyakan daripada 2.34% kemalangan yang melibatkan kenderaan berusia lebih daripada 10 tahun juga mungkin disebabkan oleh kesilapan manusia dan bukannya kegagalan mekanikal.

Pada bulan November 2013, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof. Dr. Wong Shaw Voon mengisytiharkan bahawa kenderaan yang berusia lebih daripada 12 tahun tidak selamat berada di jalan raya. Syor ini dibuat selepas menyaksikan ujian perlanggaran sebuah kereta Proton Saga berusia 23 tahun pada kelajuan 64 kilometer per jam bagi melihat kesan momentum perlanggaran terhadap pemandu dan kenderaan itu. Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi kemudiannya menyatakan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak lama lagi akan menghadkan jangka hayat kenderaan. Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga segera memberi jaminan bahawa menghadkan jangka hayat kenderaan kepada 12 tahun tidak akan membebankan pemilik kereta dengan hutang yang berterusan. Semua ini kemudiannya digugurkan selepas banyak bantahan.

Tiada siapa yang memilih untuk memandu kereta yang berusia dan tiada siapa yang memilih untuk meletakkan hidup mereka dalam keadaan bahaya. Pada hakikatnya, 19.2% daripada rakyat tidak mampu membeli kereta baru kerana harganya yang amat tinggi di Malaysia. Ramai pembeli kereta mengambil pinjaman sewa beli sehingga sembilan tahun untuk membiayai kos kenderaan yang dibeli. Hujah Profesor Dr. Wong bahawa kereta berusia lebih daripada 12 tahun tidak selamat untuk berada di jalan raya mungkin ada kebenarannya. Walaubagaimanapun, ketepatan kenyataan ini tidak pula disokong oleh data sebenar. Sebaliknya, kenderaan ynag berusia lima tahun dan kebawah terlibat dalam 94.87% daripada jumlah kemalangan. Adakah ini bermakna kita harus mengharamkan kereta baru juga?

Adalah lebih sesuai sekiranya MIROS dan Kementerian Pengangkutan melihat data yang ada sebelum mencadangkan pelaksanaan langkah-langkah yang drastik. Menghadkan jangka hayat kenderaan yang dibenarkan berada di jalan raya kita pasti akan amat membebankan rakyat Malaysia di mana harga keretanya adalah antara yang tertinggi di dunia. Saya dengan ini menggesa Kementerian Pengangkutan dan MIROS untuk membanyakkan lagi penyelidikan dan pengumpulan data untuk menangani punca sebenar kemalangan maut yang tinggi di Malaysia.