Skip to content

Hanya ada satu mesej untuk enam pilihan raya negeri yang bakal berlangsung pada bulan Ogos – sama ada Malaysia akan menjadi juara dunia sekali lagi dan menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia atau merosot menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan teruk

Muhyiddin Yassin, Hadi Awang, dan Dominic Lau tidak penting – tetapi kenyataan mereka menunjukkan yang Perikatan Nasional (PN) ada dua mesej untuk disampaikan kepada para pengundi di enam negeri yang bakal berhadapan dengan pilihan raya negeri pada bulan Ogos ini – satu mesej kepada orang Melayu dan Islam dan satu mesej berbeza kepada orang bukan Melayu dan bukan Islam.

Perkara ini menunjukkan kepentingan untuk mempunyai satu mesej bersama untuk semua pengundi di Malaysia – baik Melayu atau bukan Melayu, Islam atau bukan Islam – dalam pilihan raya negeri yang bakal berlangsung pada bulan Ogos akan datang ini, iaitu sama ada Malaysia akan menjadi juara dunia sekali lagi dan menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia atau merosot menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan teruk.

Malaysia berada di titik pertemuan empat tamadun hebat – Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat.

Bolehkah agama-agama dan falsafah-falsafah hebat yang dibawa tamadun-tamadun ini duduk bersama berdialog dan membawa kepada persefahaman, toleransi, dan keharmonian di antara tamadun dan menghalang dari terjadinya pertembungan antara tamadun seperti yang diramalkan oleh seorang saintis politik dari Amerika?

PN percaya ada kelas rakyat, golongan Melayu dan Islam dan golongan bukan Melayu dan bukan Islam.

Malaysia tidak boleh menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia sekiranya kita mempunyai dua kelas kerakyatan.

Malaysia perlu kembali semula kepada prinsip asal pembinaan negara yang telah diterapkan dalam Perlembagaan dan Rukun Negara oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara (yang merangkumi tiga Perdana Menteri terawal negara yang juga merupakan Presiden UMNO) yang mengatakan bahawa hanya ada satu kelas rakyat Malaysia.

Saya percaya yang rakyat Malaysia yang sejati, baik Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak, baik Muslim, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, atau Tao, mahu melihat Malaysia menjadi juara dunia sekali lagi dan menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.

Rakyat Malaysia yang sejati, baik Melayu atau bukan Melayu, Islam atau bukan Islam, tidak mahu melihat negara kita terus merosot ke arah menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan semakin teruk.

Inilah erti sebenar pilihan raya di enam negeri yang bakal berlangsung pada bulan Ogos.