Satu pertanyaan media sosial yang bertanya mengapa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dipanggil pihak polis sedangkan dia juga ada mengatakan perkara yang sama seperti saya – bahawa seorang bukan Melayu juga boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia – telah membawa saya untuk melakukan sedikit kaji selidik.
Saya mendapati yang persoalan yang dikemukakan di media sosial ini berasaskan kepada fakta – Mahathir lebih dari sekali ada mengatakan yang seorang bukan Melayu juga boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Tetapi saya juga mendapati yang Mahathir menyatakan fakta perlembagaan ini untuk menakutkan orang Melayu dengan mengatakan yang mereka telah kehilangan kuasa ekonomi dan kini berisiko untuk kehilangan kuasa politik pula.
Pada bulan Mac misalnya, dia telah mengatakan yang seorang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri seawal dua kitaran pilihan raya lagi – kurang dari 10 tahun dari sekarang.
Saya berbeza pendapat dengan Mahathir kerana saya sendiri tidak jangkakan yang seorang bukan Melayu akan menjadi Perdana Menteri Malaysia dalam 100 tahun yang akan datang walaupun saya ada menyatakan harapan yang supaya Malaysia tidak menjadi seperti Amerika Syarikat di mana mereka mengambil masa lebih dari 230 tahun sebelum seorang yang berkulit hitam dapat menjadi Presiden AS.
Perkara ini akan terjadi bila “majoriti rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak, mengimpikan Impian Malaysia dan bukannya impian mono-etnik”.
Sebelum ini, apa yang saya katakan hanyalah perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia, bahawa mana-mana rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama, boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia – bukan dengan niat untuk menakutkan orang Melayu atau orang bukan Melayu atau sebagai provokasi kepada mana-mana pihak.
Tidak ada perlumbaan atau persaingan untuk seorang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri Malaysia, baik sama ada menjelang ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2063 empat dekad dari sekarang, atau selepas 100 tahun dari hari ini pada tahun 2123.
Tidak akan ada mana-mana orang bukan Melayu yang akan menjadi seorang Perdana Menteri tanpa sokongan signifikan semua kumpulan etnik di Malaysia, terutamanya orang Melayu sendiri.
Hanya pihak polis sahaja yang tahu mengapa mereka hendak berjumpa dengan saya dan bukan dengan Mahathir Mohamad juga walaupun dia juga telah mengatakan perkara yang sama seperti saya – bahawa seorang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, menganggap kenyataan saya yang mengatakan seorang bukan Melayu boleh menjadi seorang Perdana Menteri sebagai “propaganda beracun”.
Tetapi, perkara ini adalah peruntukan yang ada dalam Perlembagaan.
Adakah Takiyuddin cuba mengatakan bagi pihak PAS dan Perikatan Nasional (PN) yang Perlembagaan Malaysia mengandungi “propaganda beracun”?
Adakah perkara ini bermakna Ahli-ahli Parlimen PAS telah mengangkat sumpah palsu apabila mereka bersumpah untuk “memelihara, melindungi, dan mempertahankan” Perlembagaan semasa majlis angkat sumpah sebagai Ahli Parlimen?
PAS perlu jujur dengan rakyat Malaysia: Apakah peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia yang ditolak PAS, sehingga Presiden PAS, Hadi Awang, memanggilnya “perlembagaan kafir” dalam masa lepas.
Takiyuddin memberikan komen terhadap kenyataan saya di Manchester dengan sebegitu pantas sekali.
Mengapakah dia diam seribu bahasa apabila Hadi gagal untuk mengemukakan bukti terhadap tuduhan liar dan tidak masuk akalnya yang mengatakan kononnya DAP dan saya ini anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, komunis, dan menyebarkan Islamofobia.
Adakah Takiyuddin bersetuju dengan Presiden PAS?
Tambahan lagi, mengapakah Takiyuddin diam seribu bahasa apabila Ahli Parlimen PAS Kepala Batas, Siti Mastura, menyebarkan penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian apabila dia mengatakan yang saya adalah sepupu kepada Perdana Menteri pertama Singapura, (mengubah namanya kepada “Lim” Kuan Yew) dan sepupu kepada setiausaha agung Parti Komunis Malaya, Chin Peng.
Apakah yang sedang dibuat oleh Takiyuddin sebagai setiausaha agung PAS untuk memastikan para pemimpin PAS, termasuklah Presiden PAS sendiri, tidak menyebarkan penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian?
Saya kemukakan persoalan ini kepada Takiyuddin semasa saya berada di Scotland pada minggu lepas dan saya masih menunggu jawapannya.
PAS jelas sekali mempunyai perpustakaan penyelidikan yang lebih baik berbanding dengan saya, memandangkan saya tidak tahu apa-apa mengenai ucapan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, kepada para pelajar Malaysia di London pada tahun 1964, dan saya tidak kisah jika mereka berkongsi sesalinan ucapan Lee Kuan Yew yang dibuat pada tahun 1964 ini.
Tetapi saya perlu perbetulkan dia dari salah faham yang kononnya saya ada “prejudis” terhadap peranan orang Melayu dan kononnya yang saya fikir bahawa kita memerlukan seorang Perdana Menteri bukan Melayu untuk Malaysia dikira sebagai sudah mencapai impiannya untuk menjadi sebuah negara berjaya.
Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tidak jangka seorang bukan Melayu untuk menjadi Perdana Menteri dalam 100 tahun yang akan datang, iaitu menjelang 2123.
Tetapi, fokus semua rakyat Malaysia yang patriotik perlulah kepada ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2063, sama ada Malaysia dapat bangkit semula menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia, atau berakhir sebagai sebuah negara yang gagal, berpecah belah, dan kleptokratik.
Ulang tahun ke-100 negara ini akan berlaku sebelum tempoh 100 tahun yang saya katakan, di mana saya tidak jangka untuk melihat seorang Perdana Menteri bukan Melayu.
Nasib Malaysia akan ditentukan oleh ulang tahun ke-100 negara ini, sama ada kita mampu untuk manfaatkan waktu yang kritikal dalam tiga ke empat tahun yang akan datang ini untuk bangkit semula sebagai sebuah negara hebat dunia.
Untuk memastikan Takiyuddin tidak salah faham, saya tidak jangkakan mana-mana orang bukan Melayu untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia sebelum ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2063 – malah, saya tidak jangka yang kita akan ada seorang Perdana Menteri bukan Melayu dalam 100 tahun yang akan datang sebelum tahun 2123!