Setelah Perdana Menteri ke-8 Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan, Malaysia terpaksa berdepan dengan krisis kepimpinan negara sekali lagi. Biarpun Pakatan Harapan (“Harapan”) dan parti-parti Pembangkang telah berjaya menamakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon tunggal untuk diangkat sebagai Perdana Menteri ke-9, namun jumlah 105 sokongan yang dimiliki oleh beliau masih tidak mencukupi.
Harapan perlu mengekalkan dan memperkasakan sokongan yang telah diperolehi daripada parti Pembangkang yang lain. Sehubungan itu, kami menyarankan supaya Harapan segera membuat jemputan rasmi kepada semua parti-parti Pembangkang yang terdiri daripada Parti Warisan (Warisan), Malaysian United Democratic Alliance (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) untuk menyertai Harapan. Jumlah sokongan 105 Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang yang dibuktikan pada 18 Ogos 2021 tempoh hari perlu dikekalkan dan diperkemaskan lagi dalam bentuk persefahaman yang lebih formal menuju Pilihan Raya Umum yang akan datang.
Langkah ini juga amat bertepatan dengan hasrat dan pendirian yang telah dinyatakan oleh Harapan untuk membina kerjasama dikalangan parti-parti Pembangkang mengikut kerangka ‘Khemah Besar’. Kebersamaan ini perlu diikat kemas supaya sokongan padu dan kekuatan angka 105 ini dapat menyakinkan rakyat di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bahawa Harapan merupakan pilihan paling tepat untuk memimpin Malaysia. Mohon disegerakan.