Hari ini merupakan Hari Air Sedunia yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations) sejak tahun 1993. Tema sambutan Hari Air Sedunia tahun ini adalah Alam Semulajadi Demi Air (Nature for Water).
Mesej yang ingin disampaikan cukup jelas, iaitu kita harus memelihara dan memulihara alam sekitar supaya sumber air kita dapat dilindungi dan diuruskan secara lestari. Menurut UN:
“Apabila kita mengabaikan ekosistem kita, maka lebih sukar untuk kita membekalkan air kepada semua manusia yang diperlukan untuk kehidupan.
Penyelesaian yang berasaskan alam semulajadi mempunyai potensi untuk menyelesaikan cabaran-cabaran yang dihadapi kita. Kita perlu meletakkan lebih banyak usaha dengan infrastruktur ‘hijau’ dan mengharmonikannya dengan infrstruktur ‘kelabu’ sebanyak yang mingkin. Menanam hutan baru, menyambung semula sungai-sungai dengan kawasan lembangan, dan memulihara tanah lembap akan mengimbangkan semula kitar air dan seterusnya membawa manfaat kepada kesihatan dan kehidupan kita semua.”
(sumber: http://www.un.org/en/events/waterday/index.shtml)
Menghadapi cabaran lama seperti pertambahan permintaan air kerana pertumbuhan ekonomi dan penduduk dan cabaran baru seperti pola ikim dunia yang kian berubah, kita tidak boleh bergantung semata-mata pada pembinaan mega infrastruktur seperti empangan-empangan besar untuk menyelesaikan masalah air. Kita harus melihat keadaan di sumber (upstream) iaitu memperbaiki dan memulihkan hutan tadahan semulajadi yang fungsinya sukar diganti oleh struktur buatan manusia.
Saya berasa kesal kerana kerajaan langsung tidak mengambil berat akan mesej yang diketengahkan oleh UN sempena Hari Air Sedunia 2018. Tiada seorang pun pemimpin kerajaan termasuk Menteri-Menteri yang menjaga portfolio air dan alam sekitar yang cuba memperjuangkan isu perlindungan sumber air. Semua diam membisu dan tidak mengambil kesempatan ini untuk membawa isu air sempena Hari Air Sedunia pada hari ini. Yang dilihat menulis sepatah dua ialah Ketia Setiausaha KETTHA, Datuk Seri Prof. Zaini Ujang di laman Facebook beliau. Namun apa yang ditulis oleh beliau tidak menyentuh perkara dasar dan halatuju pengurusan air, sekadar luahan hati sahaja.
Rakyat ingin melihat pimpinan yang bertekad dalam mengatasi masalah air. Sebenarnya kerajaan Najib mampu membuat sesuatu sebagai usaha menyambut Hari Air Sedunia dan membuktikan kepada seluruh warga Malaysia bahawa Barisan Nasional peka terhadap isu air di negara kita iaitu dengan membentangkan dan meluluskan Rang Undang-undang Sumber Air Negara (RUUSAN).
Sebenarnya RUUSAN ini telah pun berkali-kali disebut-sebut oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar YB Datuk Ir Dr Haji Hamim bin Samuri (Ahli Parlimen Ledang, Johor) sejak tahun 2015. Beliau telah berkali-kali janji baik di Parlimen bahawa kerajaan akan membawa RUU tersebut dalam tempoh masa tersekat. Menurut laporan akhbar pada bulan Oktober 2017, Menteri berkata RUU tersebut sudah hamper siap digubal dan akan dibentangkan pada hujung tahun 2017. Namun sehingga kini semuanya tinggal kata-kata kosong sahaja.
Pemusnahan kawasan tadahan air adalah perkara yang serius dan berlaku di seluruh negara, termasuk di Johor. Rakyat Johor dibelenggu oleh gangguan bekalan air setiap dua tiga bulan. Hanya dengan usaha pemeliharaan sumber air yang dijamin oleh undang-undang kukuh dapat mencegah pencemaran sumber air dari segi jangka panjang.
Saya sekali lagi menggesa kerajaan membentangkan RUUSAN sebelum persidangan parlimen kali ini berakhir pada 5hb April 2018 supaya proses perundangan untuk perlindungan sumber air dapat dimulakan dan kerja-kerja penguatkuasaan dapat dipertingkatkan dengan seawal yang mungkin.