Kenyataan Naib Presiden PAS YB Idris Ahmad sewaktu Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan 9 April 2017 yang lalu di Cyberjaya akan memberi laluan mudah kepada UMNO dan BN untuk mengekalkan kuasa dalam PRU ke 14 yang akan datang. Rujuk http://www.sinarharian.com.my/mobile/politik/lembah-pantai-batu-antara-80-parlimen-sasaran-pas-1.656716
Kenyataan tersebut turut menyebut bahawa antara kerusi yang mahu ditandingi termasuklah parlimen Lembah Pantai yang pada masa ini disandang oleh YB Nurul Izzah dari PKR.
Pada masa yang sama, Idris turut menyatakan kemungkinan meletakkan calon-calon PAS di kerusi-kerusi ditandingi Amanah dan DAP.
Pemuda PAS Johor dalam Muktamar Tahunannya 8 April 2017 yang lalu turut menyatakan hasrat meletakkan calon di kerusi Parlimen Batu Pahat yang pada ketika ini disandang oleh YB Datuk Idris Jauzi dari PKR. Rujuk http://m.malaysiakini.com/news/378520
Hal ini memberi isyarat bahawa Pakatan Harapan yang terdiri dari DAP, PKR dan Amanah bakal menghadapi keadaan sukar berikutan ancaman tradisi UMNO BN dan kali ini termasuklah PAS dalam pilihan raya yang akan datang ini.
Dari satu sudut lain, ia akan memberi laluan sukar kepada rakyat yang mahukan reformasi direalisasikan pada PRU akan datang.
Rakyat sedang terhimpit berikutan kos sara hidup yang amat tinggi. Cukai GST yang membebankan, kenaikan harga bahan api dan pelbagai skandal yang dipalitkan dalam urustadbir nagara telah menyebabkan rakyat tertekan.
Polisi-polisi yang tidak menyebelahi rakyat yang diutarakan oleh kerajaan hari ini memberi petanda jelas bahawa reformasi secara besar-besaran perlu dilakukan dalam sistem urustadbir negara. Barulah Malaysia mampu dipulihkan ekonomi dan sosialnya.
Melihat kenyataan dikeluarkan Idris Ahmad, ianya menimbulkan pertikaian apakah PAS benar-benar komited untuk merealisasikan harapan rakyat yang mahukan perubahan.
Sebagai parti pembangkang yang seharusnya memposisikan diri sebagai pesaing UMNO BN, hasrat bertanding di 80 kerusi termasuk kerusi-kerusi PKR, DAP dan Amanah menimbulkan ‘big question’ kepada kita, apakah PAS benar-benar komited dengan agenda menyelamatkan Malaysia.
Pun begitu, Pakatan Harapan akan tetap konsisten menjadi pesaing hebat kepada UMNO dan BN dengan mengangkat isu yang benar-benar menjerut rakyat serta menawarkan polisi-polisi terbaik sesuai dengan hasrat menyelamatkan ekonomi dan sosial yang kian parah sekarang ini.