Skip to content

Henti tindas golongan pekerja – Tarik semula penangguhan Pindaan Akta Kerja 1955 dan segera laksana had gaji minima

Semalam, Menteri Sumber dan Manusia, M Saravanan telah mengumumkan bahawa Akta Kerja 1955 yang telah dipinda dan diluluskan pada Mac 2022 akan ditangguhkan penguatkuasaannya daripada 1 September 2022 ke 1 Januari 2023.

Penangguhan ini telah mendapat banyak bantahan terutamanya daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). Dengan penangguhan ini, kerajaan Barisan Nasional sebenarnya membuktikan bahawa mereka sebenarnya tidak peduli dan tidak serius tentang kebajikan pekerja dan sumber buruh di negara ini. Antara pindaan yang telah diluluskan ialah tuntutan bayaran kerja lebih masa untuk mereka di tingkat gaji RM 2001 – RM 4000, cuti paterniti sebanyak 7 hari, cuti bersalin yang ditambah jumlahnya dari 60 hari ke 98 hari, pengurangan jam maksimum bekerja dari 48 jam ke 45 jam dan banyak lagi manfaat baik untuk pekerja.

Persoalannya mengapa ia ditangguhkan dalam jangka masa beberapa hari sahaja sebelum perlaksanaannya dan apakah relevan kepada penangguhan ini?

Saravanan juga memaklumkan bahawa pekerja kebersihan dan pengawal keselamatan masih lagi tidak boleh menerima peningkatan gaji mengikut had gaji minima sebanyak RM 1500 yang telah ditetapkan oleh kerajaan Barisan Nasional pada Mei lalu jika mereka masih terikat dengan kontrak lama yang ditandatangani sebelum Mei 2022. Ini bermakna jika seseorang pekerja itu menandatangan kontrak bekerja pada bulan Mac 2022, beliau hanya boleh menerima gaji sebanyak RM 1500 setelah beliau memperbaharui kontrak bekerja mereka pada Mac 2023. Ini adalah penindasan terang-terangan ke atas golongan pekerja kebersihan dan pengawal keselamatan. Had gaji minima ini telah pun diwartakan, tetapi mengapa perlaksanaannya pula bersyarat?

Saya mengecam tindakan kerajaan Barisan Nasional ini. Ini adalah penindasan kepada golongan pekerja di dalam negara ini. Mengapa kerajaan Barisan Nasional begitu bersungguh-sungguh untuk menjaga hati para majikan sehingga mengetepikan hak-hak pekerja yang telah termaktub di dalam undang-undang. Tidak ada rasa simpatikah kerajaan Barisan Nasional kepada rakyat yang bekerja siang dan malam demi menyara keluarga dan meneruskan kehidupan. Saya sedia maklum keadaan ekonomi kini masih lagi dalam fasa pemulihan. Namun itu tidak bermakna hak-hak golongan pekerja ini boleh diketepikan. Mereka juga perlu membina semula hidup mereka pasca pandemik.

Oleh itu saya menuntut kerajaan Barisan Nasional menarik semula penangguhan pindaan Akta Kerja 1955 dan segera melaksanakan had gaji minima kepada pekerja kebersihan dan pengawal keselamatan. Berhenti menindas rakyat yang sedang bergelut untuk memulakan kehidupan mereka semula.