Skip to content

Hentikan diskriminasi terhadap ayah dan luluskan kewarganegaraan anak

Saya menyambut baik keputusan penting (landmark decision) yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi di Ipoh yang mengiktiraf hak kewarganegaraan kepada seorang kanak-kanak yang lahir di negara ini yang mana ayahnya adalah warganegara Malaysia dan ibunya warganegara asing meskipun ibubapanya masih belum mendaftarkan perkahwinan mereka pada masa kelahiran anak berkenaan.

Dalam keputusan kehakiman mahkamah itu pada dua hari lepas, Mahkamah Tinggi di Ipoh telah diberikan kewarganegaraan kepada seorang kanak-kanak perempuan yang tidak bernegara berdasarkan Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan bahawa dia telah lahir di Malaysia selepas Hari Malaysia, dimana salah seorang ibubapanya adalah warganegara Malaysia, dan dia tidak mempunyai mana-mana kewarganegaraan.

Kerajaan perlu mentafsir Perlembagaan secara harmoni untuk menegakkan prinsip bahawa setiap kanak-kanak yang dilahirkan di negara ini perlu mempunyai kewarganegaraan dan oleh itu mereka tidak boleh dibiarkan tanpa kerakyatan atau tidak bernegara, seperti yang tertulis di dalam Jadual Kedua, Bahagian 2, Seksyen 1, Perlembagaan kita.

Pejabat Parlimen Sandakan dan pusat khidmat Kawasan lain telah menyaksikan banyak kes dimana anak kelahiran pertama dalam keluarga seumpama kekal sebagai pemegang status tanpa negara sepanjang hidupnya dalam tempoh yang lama sedangkan adik-adiknya adalah warganegara Malaysia, yang mana ini berpunca hanya kerana masalah status perkahwinan ibubapa mereka ketika kelahirannya. Akibatnya, golongan orang ini tidak dapat melanjutkan pelajaran mereka selepas sekolah menengah, tidak dapat mencari pekerjaan dan juga tidak mudah menikmati kehidupan biasa dalam masyarakat di negara kelahiran mereka. Tidak hanya masa hadapan mereka berada dalam teka-teki dan terus hidup dalam tekanan setiap hari. Malaysia juga mengalami masalah sosio-ekonomi kerana kehilangan bakat dan tenaga kerja yang berpotensi ini.

Ketika ini, satu-satunya cara bagi golongan ini memohon untuk taraf kewarganegaraan adalah menerusi Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan Pendaftaran Kewarganegaraan Dalam Keadaan Khas, tetapi proses permohonan ini terlalu tidak telus. Kerajaan bukan sahaja perlu mengurangkan kerenah birokrasi untuk jenis permohonan ini, tetapi pihak berkuasa atau kerajaan juga perlu menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berkenaan tempoh masa untuk proses permohonan itu, seperti 60 atau 90 hari dari tempoh permohonan dihantar dan perlu lebih telus lagi berkenaan sebab atau alasan kenapa menolak sesetengah permohonan berkaitan.

Dalam era teknologi dan informasi terkini, kita tidak lagi boleh menerima mana-mana tindakan “kotak hitam” oleh Menteri Dalam Negeri kita, dimana kelulusan berkenaan nampaknya seperti mengikut kehendak dan kemahuan menteri yang bertanggungjawab tanpa kriteria yang lebih jelas atau spesifik dan tanpa alasan yang sebenar diberikan kepada pemohon untuk sebarang permohonan yang telah ditolak. Perdana Menteri harus membuat hal ini sebagai salah satu KPI untuk Menteri Dalam Negeri dan membentangkan kad laporan Menteri itu untuk dilihat oleh semua orang.