Kami merujuk kepada siaran akhbar Istana Kelantan yang disiarkan pada 26 Ogos 2022. Siaran akhbar tersebut menyangkal dakwaan sebuah portal kononnya Ketua Hakim Negara, Yang Amat Arif Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan suaminya dilarang masuk ke Istana Kelantan. Sebelum ini juga, terdapat laporan berita mengenai ugutan yang dibuat terhadap Ketua Hakim Negara semasa rayuan akhir Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International.
Pada masa yang sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan juga telah menyiarkan penulisan seseorang yang digelar sebagai ‘Lim Sian See’, yang menggambarkan Hakim Mahkamah Rayuan, Yang Arif Dato’ Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebagai ‘newbie judge’ (hakim tanpa pengalaman) semasa beliau menjadi hakim bicara kes SRC International tersebut. Walhal, umum mengetahui bahawa penghakiman YA Mohd Nazlan dalam kes itu dibuat dengan teliti dan tepat, serta disahkan oleh 3 orang hakim Mahkamah Rayuan dan 5 orang hakim Mahkamah Persekutuan.
Fitnah dan tohmahan terhadap kedua-dua hakim kanan ini adalah serangan terbaru dalam siri serangan-serangan yang dilancarkan oleh penyokong Datuk Seri Najib dan juga pemimpin dan ahli UMNO terhadap hakim-hakim yang terlibat dalam kes SRC International tersebut.
Kami ingin tekankan di sini bahawa walaupun rakyat bebas mengkritik keputusan mana-mana Mahkamah, tetapi fitnah, tohmahan dan ugutan terhadap mana-mana hakim tidak boleh diterima sama sekali.
Kami juga mengiktiraf bahawa bangsa dan agama seseorang hakim itu tidak mempunyai kaitan dengan kewibawaan serta integritinya, namun fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap hakim-hakim tersebut membuktikan bahawa UMNO tidak teragak-agak untuk menyerang dua orang hakim Melayu-Islam yang begitu dihormati demi kepentingan politik mereka.
Kami mengecam sekeras-kerasnya segala bentuk serangan yang tidak berasas yang bertujuan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman dan sistem perundangan Malaysia lanjutan daripada kes SRC International yang baru diputuskan minggu ini. Badan kehakiman adalah institusi penting dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, dan semua pihak harus memastikan bahawa badan tersebut bebas daripada apa-apa bentuk ganggu-gugat dan campur tangan politik.