Saya berasa teruja terhadap kenyataan media yang dikeluarkan oleh MCA Pulau Pinang hari ini, yang menggesa supaya Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membantah projek pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dijangka siap menjelang tahun 2026.
Kenyataan Ketua Bahagian MCA Bukit Bendera, Tang Heap Seng yang disiarkan pada hari ini menggesa supaya Kerajaan Negeri Pulau Pinang membantah cadangan pembangunan Kerajaan Negeri Kedah tersebut yang berpotensi untuk mencemari Sungai Muda, yang merupakan salah satu sumber air mentah utama untuk Negeri Pulau Pinang, seperti mana yang termaktub di dalam Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang diterbitkan baru-baru ini.
Sebelum ini juga, Parti Gerakan Pulau Pinang turut menggesa supaya Kerajaan Negeri mengambil pendirian yang sama untuk membantah projek pembangunan tersebut berdasarkan isu yang sama iaitu pencemaran kepada Sungai Muda dan punca air mentah bagi Negeri Pulau Pinang.
Saya perlu mengganggap kenyataan-kenyataan dari kedua-dua Parti MCA dan Gerakan ini jenaka yang paling lawak ketika ini, memandangkan Menteri Pengangkutan adalah tidak lain tidak bukan, Presiden kepada Parti MCA manakala Kerajaan Negeri Kedah adalah diterajui oleh Parti PAS, iaitu rakan bersekutu kepada Gerakan dibawah Perikatan Nasional.
Adakah tiada sebarang komunikasi diadakan diantara MCA Pulau Pinang bersama dengan Menteri Pengangkutan Dato Seri Wee Ka Siong berhubung dengan isu ini? Adakah tiada sebarang komunikasi diadakan diantara pimpinan Perikatan Nasional di antara PAS dengan Gerakan berhubung isu ini, ataupun Gerakan merupakan parti pada standard yang lebih rendah berbanding dengan Parti PAS di dalam Perikatan Nasional?
Sehubungan dengan itu, ingin saya mencabar supaya MCA Pulau Pinang dapat mengadakan perbincangan serta merta untuk menyampaikan hasrat mereka untuk membantah kepada pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim sejurus selepas Dato Seri Wee Ka Siong mengangkat sumpah semula menjawat jawatan Menteri Pengangkutan yang dijangka berlangsung pada esok, 30 Ogos 2021.
Cabaran yang sama juga ditujukan kepada Gerakan Pulau Pinang untuk membantah cadangan pembangunan tersebut kepada YAB Menteri Besar Kedah dari PAS, yang merupakan rakan sekutu Gerakan dalam Perikatan Nasional pada kadar segera.
Hentikan hipokrasi dan percubaan yang teruk demi kesinambungan dan kewujudan politik MCA dan Gerakan Pulau Pinang ini. Tindakan sedemikian hanya akan meningkatkan keyakinan rakyat, khususnya Rakyat Pulau Pinang bahawasanya keputusan yang mereka lakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 untuk menolak MCA dan Gerakan adalah tepat dan perlu diulangi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15.