Skip to content

Hentikan pemangsaan Sasterawan Negara Pak Samad Said kerana ‘mata pena lebih tajam daripada mata pedang’

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin harus hentikan pemangsaan oleh kerajaan Persekutuan terhadap Sasterawan Negara A Samad Said atas dakwaan mengkibarkan bendera Sang Saka Malaya pada ambang sambutan Hari Merdeka. Dengan menyelar Pak Samad Said sebagai “tidak senonoh dan memalukan”, Tan Sri Muhyiddin bertindak seperti pendakwa dan hakim.

Penahanan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said di bawah Akta Hasutan pada tengah malam buta adalah tindakan salah guna kuasa yang amat mengejutkan dan angkuh. Pada pukul 1230pagi 4hb September 2013, polis telah menahan Pak Samad di kediamannya di Bangsar sebelum membawanya ke Balai Polis Dang Wangi untuk disoal siasat. Beliau telah dilepaskan selepas dua jam.

Apakah perlu tindakan kejutan sedemikian ke atas seorang pensyair yang berusia 78 tahun, sedangkan beliau bukan penjenayah tegar dan ganas? Tindakan ini adalah sangat biadap dan tidak menghormati seseorang yang telah menyumbang jasa bukan sahaja kepada sastera Malaysia tetapi juga kepada masyarakat sivil.

Pak Samad sepatutnya dijulang sebagai kebanggaan negara. Sebaliknya, kita mendapati bahawa terdapat usaha terancang untuk memalukan dan memangsakan beliau. Malah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Shabeery Cheek juga telah membuat ugutan untuk menarik balik anugerah Sasterawan Negara. Lebih memalukan lagi kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mendakwa bahawa polis terpaksa mengambil tindakan sedemikian kerana Pak Samad seolah-olah bersembunyi daripada polis dan “telah balik secara senyap-senyap” selepas tengah malam. Pak Samad telah pun menafikan tuduhan tersebut dan sebaliknya berkata beliau hanya berada di rumah hampir keseluruhan petang tersebut.

Kenyataan-kenyataan bongkak oleh menteri Persekutuan dan tindakan angkuh oleh polis terhadap seorang Sasterawan Negara yang juga warga emas yang tidak berupaya mempertahankan diri adalah sangat jijik dan harus dikecam oleh semua rakyat Malaysia. Jelas, Pak Samad dimangsakan atas pendirian beliau yang teguh memperjuangkan isu-isu penting negara seperti reformasi pilihan raya dalam kapasitinya sebagai pengerusi bersama Bersih 2.0.

Tindakan yang sebegitu keras tidak pun diambil terhadap mereka yang didakwa kerana rasuah. Pihak polis seharusnya menumpukan perhatian melawan penjenayah daripada melawan seorang sasterawan. Apa-apa pun, sejarah akhirnya akan membuktikan bahawa “mata pena lebih tajam daripada mata pedang”.