Skip to content

Hentikan penamatan Program Subsidi Upah PERKESO Penamatan skim ini sekarang hanya akan mensia-siakan usaha menyelamatkan perniagaan dalam negara

Penamatan Program Subsidi Upah (PSU) PERKESO adalah satu kesilapan yang membawa implikasi buruk yang besar, termasuklah berkemungkinan menghumban negara kita ke arah pengangguran besar-besaran.

PERKESO dalam kenyataannya sebelum ini telah mengatakan yang PSU bertujuan untuk memberikan sokongan kepada perniagaan-perniagaan yang terkesan dengan impak ekonomi yang disebabkan oleh krisis Covid-19 dan juga untuk memastikan para pekerja tidak kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan mereka. Sekiranya benar ini tujuannya, mengapakah mereka kini mengatakan penamatan PSU ini tidak akan menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran dalam negara?

Malah, akibat daripada penamatan skim ini, kita berhadapan dengan masalah ekonomi dan sosial yang mendalam. Negara kita amat memerlukan skim ini dan tindakan kerajaan untuk menamatkan skim ini amatlah pelik, melainkan sekiranya ekonomi negara kita telah pulih secara drastik.

PSU menjadi satu insentif kepada perniagaan untuk terus menggajikan pekerja mereka, tanpa program ini, lebih banyak perniagaan akan mempertimbangkan untuk menggulung tikar dan memberhentikan lebih ramai pekerja.

Telah dilaporkan setakat 31 Disember 2020, lebih daripada 3.7 juta pekerja dan 428,516 majikan telah menerima manfaat daripada program ini. PERKESO mendakwa, berdasarkan satu kaji selidik mereka yang melibatkan 469 syarikat yang menerima PSU, hanya 15 peratus daripada responden mengatakan mereka merancang untuk mengurangkan jumlah pekerja mereka. Kaji selidik ini hanya melibatkan 0.1% daripada semua jumlah majikan yang menerima PSU.

Jadi, syarikat manakah yang telah menyertai kaji selidik ini yang kemudiannya digunakan untuk menamatkan program subsidi yang amat penting untuk memastikan para syarikat boleh terus membayar gaji para pekerja mereka? Bolehkah kita mendapatkan ketelusan dan perbincangan yang lebih mendalam dengan para pemegang taruh (majikan, kesatuan sekerja, persatuan sivil, dan juga para Ahli-ahli Parlimen Pembangkang) mengenai kaji selidik ini, bagi membolehkan kami memberikan pendapat dan fikiran sebelum keputusan dibuat mengenai perkara ini?

Janganlah kita lupa yang Menteri Kewangan, Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pernah mengatakan yang program subsidi upah ini telah menyelamatkan 2.4 juta pekerjaan.

Untuk menamatkan skim ini sekarang bermakna kita akan mensia-siakan usaha untuk menyelamatkan perniagaan selama ini. Kita perlu membantu syarikat-syarikat yang terkesan untuk kembali menjana keuntungan dan pertumbuhan dan satu cara untuk melakukan perkara ini adalah dengan menyelamatkan pekerjaan.

Bagaimanakah perkara ini telah berubah sedangkan kes Covid-19 dalam negara terus meningkat? SOP masih lagi lemah dengan keputusan yang kerap berubah-ubah dan seluruh negara di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat.

Terdapat kemungkinan yang besar yang perkara ini hanya akan menyebabkan lebih banyak majikan untuk menggulung tikar.

Kita juga perlu mengingati hakikat bahawa Malaysia tidak mempunyai sistem bayaran elaun pengangguran di mana para penganggur dapat menuntut elaun apabila kehilangan pekerjaan. Apa yang tambah memburukkan keadaan lagi adalah hakikat di mana hanya para pekerja yang membuat caruman PERKESO sahaja yang layak untuk menerima manfaat ini. Pekerja di sektor tidak formal dan pekerja ekonomi gig tidak mendapat sebarang manfaat.

Sistem menyeluruh yang merangkumi semua pekerja perlu diperkenalkan. Kebanyakkan negara di seluruh dunia telah melaksanakan rancangan subsidi upah, yang boleh dijadikan rujukan oleh negara kita. Berikut adalah beberapa contoh:

  • Amerika Syarikat melaksanakan Kredit Pengekalan Pekerja di bawah peruntukan Akta CARES yang menggalakkan perniagaan di Amerika Syarikat untuk mengekalkan pekerja mereka. Kredit cukai diberikan sehingga 50% daripada $10,000 yang dibayar sebagai gaji pekerja oleh majikan yang layak yang perniagaannya telah terjejas akibat Pandemik Covid-19.
  • Bayaran JobKeeper di Australia adalah satu skim untuk menyokong perniagaan dan badan bukan-untuk-keuntungan yang terjejas teruk dengan Covid-19 untuk memastikan lebih ramai rakyat Australia dapat mengekalkan pekerjaan mereka.
  • Kerajaan Singapura telah mengumumkan rancangan sokongan tambahan untuk membantu majikan mengekalkan pekerjaan dan mencipta peluang pekerjaan dan membolehkan kerajaan untuk menyumbang di antara 25 ke 75 peratus daripada S$4,600 yang pertama (AS$3,360) gaji setiap pekerja tempatan.
  • Skim “furlough” di United Kingdom yang membayar gaji para pekerja yang jika tidak dibantu, akan diberhentikan kerja kerana pandemik koronavirus yang melanda seluruh dunia, telah menghalang angka pengangguran daripada meningkat. Kumpulan perniagaan dan kesatuan sekerja yang berpengaruh di UK kini sedang menggesa kerajaan untuk memanjang skim ini sehingga akhir tahun ini.

Sekarang adalah masanya untuk kerajaan mendengar luahan rakyat dan memahami masalah yang dialami oleh para pekerja. Pengangguran sedang menghantui para pekerja. Lihatlah situasi di negara dan bagaimana kerajaan mereka peduli mengenai nasib para pekerja. Lebih ramai para pekerja bakal kehilangan pekerjaan (baik di dalam sektor formal atau pun tidak formal) dan bakal berhadapan dengan masalah untuk memastikan mereka mampu untuk menyara kehidupan mereka sekiranya program subsidi upah ini ditamatkan.

Kerajaan Perikatan Nasional, terutamanya Kementerian Sumber Manusia perlu mempertimbangkan semula impak besar penamatan dan kebergantungan perniagaan yang telah terjejas akibat wabak Covid-19 kepada Program Subsidi Upah di bawah PERKESO ini.