- Pertama sekali, saya ingin tegaskan bahawa kriteria UNESCO langsung tidak menyebut keperibumian atau memberi status keperibumian kepada sesebuah tapak warisan UNESCO atau masyarakat yang berkaitan dengan tapak tersebut. Status tapak UNESCO mengiktiraf kepentingan tapak tersebut dari aspek teknologi, budaya, peristiwa bersejarah, atau fenomena semula jadi yang unik. Jadi usahlah ahli politik mengelirukan rakyat dengan hujah palsu.
- Buat mana-mana pihak – baik pemimpin politik atau akademik yang tidak pernah mendalami sejarah dan kehidupan harian di kampung baru Cina, saya hulurkan jemputan untuk melawat Kampung Baru Sungai Way di DUN Kampung Tunku.
- Kampung Baru Sungai Way diasaskan pada tahun 1949 di bawah Rancangan Briggs untuk membendung ancaman komunis. Kira-kira 3,000 orang Cina dari kawasan Puchong, Damansara dan Jalan Klang Lama telah dipindahkan ke situ. Namun, kampung ini bukan 100% didiami masyarakat Cina. Tanya sahaja orang kampung di Jalan SS9A/8, masyarakat Melayu dan India bertapak di sini dari zaman estet getah sehingga kini.
- Pada 26 November 1953, Naib Presiden Amerika Syarikat Richard Nixon telah melawat Kampung Baru Sungai Way. Lawatan beliau bertujuan memantau ancaman daripada pihak komunis, susulan pertukaran tampuk kuasa di China di bawah Mao Tse Tung.
- 75 tahun selepas ditubuhkan, Kampung Baru Sungai Way menjadi model perpaduan. Ada Melayu, Cina, India, dan lain-lain. Ada Masjid Al-Ridhwani di Jalan SS9A/8, ada Tokong Leng Eng Tian Khiew Ong Tai Tay yang terkenal dengan sambutan Perayaan Sembilan Maharaja Dewa (“Nine Emperor Gods”); ada Kuil Sri Sakthi Easwari, dan gereja-gereja kecil. Antara anak tersohor Kampung Baru Sg Way termasuk Dato’ Seri Lim Bock Seng, pengasas syarikat LBS Bina yang meletakkan ibu pejabat LBS Bina di sini dan banyak menyumbang dana untuk pendidikan anak Sungai Way.
- Orang kampung kita tidak segan bercampur antara satu sama lain. Sambutan Aidilfitri di Masjid Al-Ridhwani terbuka kepada semua. Tarian singa dan naga Persatuan Khuan Loke dan kumpulan kompang masjid bersama-sama mengiring perarakan tanglung keliling kampung baru semasa Perayaan Tanglung.
- Pada 12 Disember 2021, kami telah melancarkan Koridor Sejarah Sungai Way. Koridor Sejarah ini merupakan muzium kampung baru yang pertama di Selangor. Kira-kira 70% daripada antik diderma oleh orang kampung. Malah di luar Koridor Sejarah, kami telah mendirikan replika pintu gerbang asal kampung yang mengandungi tulisan rumi, Cina, Jawi, dan Tamil. Tiada yang membantah; semua bangga kerana dapat menonjolkan kepelbagaian dan sejarah kampung baru kita.
- Antara sikap seorang pemimpin yang baik ialah keterbukaan kepada idea baru dan kesudian untuk berbincang. Sekali lagi, saya hulurkan jemputan untuk melawat Kampung Baru Sungai Way. Jangan sekadar melihat isu pengiktirafan UNESCO melalui lensa perkauman atau “zero sum game”; lebih baik kita bertukar pandangan. Kepelbagaian kita keistimewaan kita sebagai rakyat Malaysia.
Hentikan polemik perkauman dan cubaan mengelirukan rakyat berkenaan isu cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan UNESCO
- 14 February 2024
- LIM YI WEI
- ADUN Kampung Tunku
- Artikel oleh Lim Yi Wei Pada 14 Feb 2024