Skip to content

Hentikan serangan terhadap komuniti transgender

Kami merujuk kepada laporan-laporan media tentang wanita transgender yang diserang oleh sekumpulan lelaki di Negeri Sembilan. Kami telah berjumpa dengan mangsa dan bercakap dengannya pada 19 Ogos 2018 di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.

Kami terkejut apabila mendapat tahu bahawa mangsa telah diserang secara fizikal oleh sekumpulan 8 lelaki pada lebih kurang pukul 11 malam di Sungai Ujong, Seremban. Kumpulan tersebut telah mengepung mangsa dan adalah dipercayai bahawa mangsa telah diserang atas sebab prejudis terhadap identiti jantinanya, iaitu dia adalah seorang wanita transgender. Mangsa telah mengalami kecederaan dalaman, patah beberapa tulang rusuk dan juga kecederaan pada belakang dan kepalanya, yang memerlukan 12 jahitan. Mangsa diwadkan di hospital untuk beberapa hari selepas serangan tersebut.

Malangnya, insiden ini bukan insiden terpencil. Komuniti transgender telah lama menjadi sasaran serangan dan gangguan di seluruh negara. Dalam beberapa kes, serangan-serangan yang dilakukan telah mengakibatkan kecederaan serius dan juga kematian. Selalunya, pelaku-pelaku jenayah itu tidak di bawa ke muka pengadilan, sama ada kerana mangsa takut serangan lain atau pihak berkuasa enggan mengambil tindakan lanjut.

Kami percaya bahawa ketidakpedulian terhadap kehidupan komuniti transgender ini adalah disebabkan oleh tindakan sesetengah pihak yang sentiasa memomokan komuniti tersebut. Kebencian (hate speech) yang diajukan pada komuniti transgender telah mengurangkan kemanusiaan mereka di mata masyarakat dan ini telah memudahkan mereka menjadi sasaran. Kami mengecam sekeras-kerasnya apa-apa ekspresi kebencian yang diajukan pada komuniti tersebut.

Serangan fizikal dan lisan yang dialami oleh komuniti transgender mesti dihentikan. Ia adalah pencabulan secara terang hak asasi manusia ahli-ahli komuniti transgender, yang sepatutnya menikmati kebebasan asasi yang sama dengan warganegara lain.

Kami memanggil semua pihak untuk bekerjasama untuk menghentikan serangan-serangan terhadap salah satu daripada komuniti yang paling dipinggirkan di Malaysia.