Saya merujuk kepada laporan media bahawa enam mahasiswa Universiti Malaya (UM) bakal dihadapkan ke prosiding tataterbib kerana telah mengetengahkan isu kuota internet di kampus. (https://www.malaysiakini.com/news/329604)
Enam mahasiswa tersebut, Nur Hananie Chow Abdullah, Suhail Wan Azahar, Fahmie Nuaiman, Muhammad Luqman, Ho Chi Yang, Chua Hun Chi telah menerima notis berkaitan prosiding tatatertib dan diarahkan untuk hadir ke prosiding pada 15 Februari 2016.
Pentadbir UM jangan malukan nama universiti dan alumni
Naib Canselor dan badan pentadbir Universiti Malaya sebagai universiti tertua di Malaysia tidak patut memalukan nama universiti dan alumni dengan membuang masa cuba menutup mulut mahasiswa. Jangan berlagak seperti diktator ataupun lebih teruk lagi sebagai pentadbir tadika di mana setiap gerak geri pelajar perlu mendapat kebenaran mereka.
Tindakan enam mahasiswa UM tersebut mengetengahkan isu yang melibatkan kebajikan warga kampus patut dipuji dan diberi perhatian serius. Sebaliknya mereka telah digertak dengan tindakan disiplin dan dipaksa untuk mendiamkan diri. Apakah pengajaran yang cuba disampaikan oleh pihak Universiti Malaya melalui tindakan gertak ini?
Jika mahasiswa tidak dibenarkan bersuara dan berfikir secara kritis termasuk terhadap pentadbir universiti, maka universiti kita menjadi sekadar kilang mengeluarkan robot.
Saya sebagai alumni UM berasa amat kecewa dan malu.
Pentadbir IPTA menghampakan mahasiswa dan rakyat Malaysia, patut dihadapkan ke prosiding tatatertib
Masalahnya pada hari ini, robot yang dihasilkan universiti kita pun tidak mendapat sambutan pasaran.
Laporan Bank Dunia pada tahun 2013 mendedahkan bahawa satu antara lima orang siswazah di Malaysia di bawah umur 25 tahun menganggur. (Sumber: Malaysia Economic Monitor, December 2013, ms 55-56).
Pada tahun 2014, sekali lagi Bank Dunia memberi amaran tentang pengangguran mahasiswa, kali ini memetik statistik Kementerian Pengajian Tinggi bahawa lebih 56,000 mahasiswa gagal mendapat kerja enam bulan selepas tamat pengajian. (Sumber: Malaysia Economic Monitor, December 2014, ms 34).
Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh Jabatan Statistik pada Jun 2014 menunjukkan bahawa satu pertiga penganggur di Malaysia merupakan lepasan universiti. (Sumber: Labour Force Survey Report, 2013, ms 143)
Paling menyedihkan kalangan siswazah menganggur ini, jumlah paling tinggi merupakan lepasan institut pengajian tinggi awam IPTA (Sumber: National Education Statistics: Higher Education Sector 2013, ms 179)
Puncanya? Pelbagai laporan, termasuk Laporan Bank Dunia yang disebut di atas dan laporan oleh Talent Corp (2014) menunjukkan bahawa antara faktor utama ialah kegagalan institusi pengajian tinggi kita melatih mahasiswa yang memenuhi cabaran pasaran kerja.
Dalam keadaan ini, sepatutnya para Naib Canselor dan pentadbir universiti yang dihadapkan ke prosiding tatatertib kerana telah gagal memenuhi amanah mereka terhadap anak-anak kita.
Universiti kita patut memberi fokus kepada menaikkan mutu akademik, bukan menutup mulut mahasiswa dan membantutkan pemikiran merdeka.
Justeru, saya menyeru agar UM menarikbalik notis tatatertib terhadap enam mahasiswa UM tersebut.