Dalam isu Perdagangan Malaysia-Israel ini, saya telah mula membangkitkan pelbagai soalan dan mendedahkan beberapa dokumen dan statistik semenjak tahun 2011 lagi sehingga menyebabkan saya telah dihalau keluar dari Dewan Rakyat ekoran daripada keengganan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri MITI untuk menjawab soalan saya ketika itu.
Dan pada tanggal 2 Ogos 2014, Menteri yang sama juga menyatakan bahawa Kerajaan sedang memperhalusi isu hubungan perdagangan dengan Israel oleh syarikat multinasional.
Kemudiannya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pula menggunting kad kredit HSBC sebagai tanda bantahan terhadap kekejaman rejim Zionis Israel yang sedang melancarkan keganasan penghapusan etnik terhadap warga Palestin.
Namun begitu, tiga tahun selepas pendedahan saya di Dewan Rakyat, empat persoalan ini masih kekal tidak dijawab:
- Apakah tindakan Kabinet dalam mengkaji semula kebenaran Jemaah Kabinet pada tahun 1996 untuk syarikat multinasional melakukan aktiviti perdagangan dengan Israel? Saya telah menjalankan tanggungjawab saya untuk menyuarakan persoalan rakyat sehingga dihalau keluar dewan namun nampaknya Jemaah Menteri masih tidak mempelajari sesuatu daripada pendedahan itu dan tidak menjalankan tanggungjawab mereka untuk menarik semula kelulusan yang telah dibuat itu.
- Mengapa tiada langkah-langkah tegas Kabinet Malaysia dalam isu perdagangan dengan Israel malahan terus meningkat kepada 124% sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2013 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2012 dan jumlah nilai eksport peralatan elektronik Israel ke Malaysia pula adalah sebanyak USD 1.4 Billion di kedudukan kedua selepas Amerika Syarikat.
- Bagaimanakah Kabinet boleh melanggar Dasar Luar Negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan juga larangan perdagangan di bawah Akta Kastam 1967 (AKta Larangan Import dan Eksport) Pindaan 2008? Mengapa tiada sebarang tindakan bagi membetulkan keadaan ini? Adakah ini menunjukkan Kabinet sendiri tidak menghormati dasar dan peruntukan undang-undang yang telah digubal?
- Mengapa kedua-dua Menteri ini tidak pernah membangkitkan persoalan hubungan perdagangan yang bernilai berbillion dollar Amerika Syarikat ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri? Malahan, kedua-dua Menteri ini juga gagal dalam menasihatkan ASTRO yang secara jelas mengakui menggunakan perkhidmatan syarikat AMDOCS yang diasaskan di Israel.
Saya ingin menasihatkan Datk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan juga Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk memberhentikan silap mata berlagak sebagai juara kemanusiaan Palestin sebaliknya dengan segera mendesak Perdana Menteri dan Kabinet Malaysia agar memberhentikan segera perdagangan dengan Israel seperti yang telah dilakukan oleh banyak negara Kesatuan Eropah.
Saya juga ingin mencadangkan kepada kedua-dua Menteri ini untuk
bersedia mencontohi tindakan anggota Kabinet United Kingdom, Baroness Sayeeda Warsi, yang telah meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan sikap Kerajaannya yang diketuai David Cameron yang tidak mengkritik keras operasi ketenteraan Israel di Gaza.
Jika seorang Menteri Kabinet yang juga merupakan seorang Muslim
sanggup meletakkan jawatan di sebuah negara yang bukan Islam, apakah Menteri Muslim yang berada di sebuah negara majoriti Islam tidak mempunyai keberanian dan “Political Will” untuk memberikan tekanan kepada Kerajaan Pemerintah agar tidak terus menerus menjalin hubungan perdagangan dengan sebuah negara yang mempunyai pandangan ketenteraan yang sangat keras dan menindas orang lain. Apatah lagi diatas ukhwah sesama Islam, jika bukan atas nama kemanusiaan, beranikah anda meletakkan jawatan?
Dan persoalan yang lebih utama, sudah 18 tahun kelulusan hubungan
perdagangan itu diberikan dan juga tunjuk rasa oleh Menteri terbabit dilakukan tetapi mengapa perkara yang tidak selari dengan Dasar Luar Negara terus dibiarkan berjalan?