Tahniah kepada kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS atas kejayaan menarik pelaburan syarikat China dan mengadakan majlis rasmi besar-besaran yang menonjolkan unsur-unsur antarabangsa seperti penggunaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.
Saya terbaca komen-komen yang melimpahi ruangan Facebook Exco Kedah tersebut, YB Haim Hilman Abdullah yang rata-ratanya mempersoalkan kehilangan bahasa Melayu dalam majlis tersebut.
Inilah akibatnya apabila ada pemimpin PAS yang mempertikaikan penggunaan papan tanda tiga bahasa di pasar awam sebelum ini.
Pemimpin sedemikianlah yang memberikan hujah & retorik sempit pada ketika itu untuk menjayakan agenda politik diri sendiri.
Samalah seperti ada yang katakan diri sendiri adalah pejuang bahasa kebangsaan dan rela letak jawatan demi maruah namun pula berdiam seribu bahasa dalam isu sebegini yang melibatkan PAS. Inilah namanya hipokrit.
Sebagai generasi muda, saya tidak berminat untuk menyerang PAS dengan menggunakan hujah yang pernah dilontarkan PAS PN bahawa kononnya bahasa Melayu dipinggirkan, bahasa kebangsaan diancam atau kerajaan negeri Kedah menganaktirikan bahasa Malaysia dalam hal ini.
Sesungguhnya semua warganegara Malaysia, tidak kiranya berparti apa-apa pun, akan bersetuju bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa yang wajib diangkat martabat dan diutamakan di samping mempertahankan pembelajaran dan penggunaan bahasa ibunda masing-masing.
Apabila terdapatnya ahli politik yang gemar memainkan isu kaum, agama & bahasa untuk tujuan politik dan mencuba sedaya upaya untuk menunjukkan diri sendiri adalah eksklusif dalam memperjuangkan isu sebegini, akhirnya inilah yang berlaku.
Adalah baik untuk pimpinan PAS melalui isu ini untuk mengetahui bahawa dunia ini adalah besar dan tidak lagi hidup seperti katak dalam tempurung.
Jangan sesekali hipokrit dan bersikap dwi piawaian lantaran apabila satu jari menunjuk kepada orang lain, empat jari lagi menunjuk kepada diri sendiri.
Berpolitiklah secara sederhana lantaran pada satu hari nanti kamu akan makan atau kena balik diri sendiri atas pendirian politik sempit sebegini.