Skip to content

Ahli-Ahli Parlimen tidak harus menyokong pindaan kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 kerana banyak lagi isu-isu yang belum diperjelaskan dan diatasi

Sungguhpun kerajaan telah 2 kali mengubah pindaan-pindaan yang hendak dibuat kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) selepas mendapat bantahan daripada Ahli-ahli Parlimen Pembangkang, pindaan-pindaan terakhir (kali ke-3) yang dicadangkan masih tidak boleh diterima kerana 6 isu-isu berikut perlu diperjelaskan dan diatasi:-

1. Penalti

Hukuman penjara tidak melebihi 2 tahun atau denda tidak melebihi RM2,000.00 untuk individu dan RM 2.0 juta untuk sesuatu pertubuhan perbadanan.

Peraturan boleh dibuat oleh Menteri di mana apa-apa kesalahan di bawah peraturan boleh dihukum tidak melebihi 2 tahun penjara atau denda RM1,500.00 atau kedua-duanya untuk individu dan denda tidak melebihi RM 1.0 juta untuk sesuatu pertubuhan perbadanan.

Kompaun boleh dikenakan tidak melebihi RM1,000.00 untuk seorang individu dan tidak melebihi RM500,000.00 untunk sesuatu pertubuhan perbadanan.

Pindaan ini masih tidak boleh diterima atas sebab-sebab berikut:-

  1. Denda sehingga RM 2.0 juta ke atas sesuatu pertubuhan perbadanan adalah terlalu tinggi;
  2. Kuasa diberikan kepada Menteri untuk membuat peraturan yang mewujudkan sesuatu kesalahan yang boleh didenda sehingga RM1.0 juta untuk sesuatu pertubuhan perbadanan tanpa melalui Parlimen adalah tidak boleh diterima;
  3. Ketua Pengarah atau pegawai yang diberi kuasa boleh mengeluarkan kompaun sehingga RM500,000.00 untuk sesuatu pertubuhan perbadanan akan mengundang penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

2. Selain daripada pegawai kesihatan, adakah penjawat awam lain boleh dilantik sebagai pegawai yang diberi kuasa (authorised officer)?

Dalam taklimat yang diberikan oleh Menteri Kesihatan (Tuan Khairy Jamaluddin) pada 13/12/2021 (Isnin) di Parlimen, beliau telah menyatakan pegawai-pegawai daripada 7 agensi telah dilantik sebagai pegawai yang diberi kuasa untuk melaksanakan Akta ini. Pada hemat saya, ini bertentangan dengan peruntukan Akta ini.

Takrif ‘mana-mana orang yang sesuai’ di bawah Seksyen 2 hendaklah ditafsir sebagai terhad kepada pegawai-pegawai kesihatan sahaja mengikut peraturan tafsiran ejusdem generis (sejenis). Pendirian ini disokong oleh Seksyen 5 yang memperuntukkan bahawa pegawai-pegawai polis, kastam, imigresen dan pegawai-pegawai dari jabatan dan agensi kerajaan yang lain harus memberi bantuan apabila diminta oleh mana-mana pegawai yang diberi kuasa. Oleh itu, mereka tidaklah termasuk dalam pegawai-pegawai yang diberi kuasa. Seksyen 23 menyatakan mana-mana pegawai yang diberi kuasa boleh hadir di mahkamah dan menjalankan apa-apa pendakwaan. Adakah niat Akta ini untuk memberi kuasa kepada ahli RELA, pegawai KPDNHEP, PDRM dan lain-lain pegawai yang tidak berkaitan dengan kesihatan untuk menjalankan pendakwaan kes kesihatan di bawah Akta 342?

3. Keizinan/kelulusan Pendakwa Raya perlu diperoleh sebelum kompaun dikeluarkan.

Difahamkan beribu-ribu kompaun telah dikeluarkan tanpa keizinan/kelulusan Pendakwa Raya sungguhpun EO 2021 mempunyai peruntukan yang sama dalam pindaan D.R. 20/2021 ini. Adakah peruntukan ini sesuai untuk dilaksanakan berkenaan dengan kompaun?

4. SOP yang berubah setiap hari bukannya undang-undang melainkan diwartakan.

Ramai pegawai polis telah mengeluarkan kompaun mengikut SOP yang diumumkan. SOP merupakan arahan Ketua Pengarah sahaja dan bukan undang-undang melainkan diwartakan. Ramai pegawai terkeliru tentang SOP termasuk Ketua Polis Negara dan Menteri Pertahanan (Perdana Menteri sekarang). Mereka yang tidak mematuhi SOP hendaklah diberitahu tentang arahan Ketua Pengarah dan diberi peluang untuk mematuhinya. Hanya selepas diberitahu dan mereka masih tidak mematuhinya, barulah ia menjadi satu kesalahan.

5. Adakah pegawai yang diberikuasa boleh melaksanakan penyiasatan termasuk tangkapan di bawah Kanun Tatacara Jenayah jika peruntukan penalti adalah penjara tidak lebih daripada 2 tahun?

Seksyen 21B yang dicadangkan memberi kuasa untuk menjalankan siasatan mengikut Kanun Aturcara Jenayah. Penalti yang dicadangkan di bawah Seksyen 24 adalah penjara tidak melebihi 2 tahun.

Jadual 1 Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan kesalahan selain daripada kesalahan di bawah Kanun Keseksaan di mana hukumannya tidak melebihi 3 tahun atau jika hanya boleh dikenakan denda, maka polis tidak boleh menangkap tanpa waran.

Isu yang perlu dijelaskan ialah kesalahan di bawah Akta 342 yang dipinda merupakan satu kesalahan lazim ditangkap atau tidak.

6. Tanggungjawab pengamal perubatan untuk memberitahu Pegawai Kesihatan tentang penyakit berjangkit jika mereka ‘mempunyai sebab untuk percaya atau mengesyaki‘ adalah terlalu luas dan membebankan kepada pengamal perubatan (Pindaan kepada Seksyen 10).