Skip to content

Ho Chi Yang menyampaikan ucapan perbahasan di Dewan Negeri Pahang.

1. Mengkaji Impak Sayur Import Terhadap Pasaran Tempatan Bagi Menjamin Kemampanan Pertanian

  • Sektor pertanian merupakan salah satu sektor terpenting dan tumpuan pembangunan utama di Negeri Pahang.
  • Berdasarkan Statistik Tanaman, Negeri Pahang telah mencatatkan jumlah pengeluaran sayur-sayuran yang tertinggi antara semua negeri pada tahun 2024, iaitu 473,980 metric ton atau 37.8% daripada jumlah pengeluaran sayur negara.
  • Pada masa yang sama, Daerah Cameron Highlands merupakan antara kawasan pertanian terbesar yang membekalkan sayur-sayuran ke seluruh negara serta untuk tujuan eksport.
  • Walau bagaimanapun, terdapat keluhan daripada para pekebun bahawa harga sayur adalah tidak stabil dan selalu rendah, dan ia meningkatkan faktor ketidaktentuan dan risiko kepada sektor penanaman sayur-sayuran, khususnya kepada pekebun kecil dan sederhana.
  • Meskipun pasaran sayur-sayuran secara amnya adalah pasaran bebas, salah satu faktor yang mungkin menyebabkan harga sayur terlalu rendah adalah jumlah sayur import yang tinggi.
  • Sekiranya jumlah sayur tempatan di pasaran adalah mencukupi atau hampir mencukupi, jumlah sayur import yang terlalu banyak dan selalu ditetapkan pada harga yang amat rendah akan membawa gangguan kepada pasaran.
  • Walaupun pada jangka masa pendek, pengimportan sayur akan membantu mengawal dan mengurangkan harga sayur pasaran, tetapi pada jangka masa yang panjang akan mewujudkan persekitaran saingan yang tidak sihat dan tidak seimbang terhadap pengasil sayur tempatan.
  • Sekiranya harga sayur terlalu rendah, para pekebun tempatan tidak mampu memperoleh keuntungan dan mungkin mengalami kerugian. Jika masalah berlarutan, para pekebun akan kehilangan minat untuk terus melibatkan diri dalam sektor pertanian, dan keadaan ini turut mungkin menjadi penghalang kepada orang muda yang ingin menceburi bidang pertanian.
  • Maka, Ho Chi Yang menyeru Kerajaan Negeri bersama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan agensi berkenaan untuk mengkaji secara teliti dan menyeluruh, sejauh mana kesan sayur import mendatangkan impak terhadap harga sayur tempatan.
  • Ho Chi Yang turut menyeru Kerajaan untuk mengkaji mekanisme di mana pengimportan sayur adalah terkawal dan tidak mengundang kepada saingan yang terlalu extreme sehingga memudaratkan sektor pertanian tempatan.

2. Menyokong Pembangunan Artificial Intelligence Data Center (AIDC) Dan Menitikberatkan Peningkatan Infrastruktur Asas

  • Ho Chi Yang menyambut baik dan menyokong sepenuhnya perancangan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB Dato’ Sri Diraja Menteri Besar untuk membangunkan Artificial Intelligence Data Center (AIDC), khusnya sebagai platform baharu perniagaan secara atas talian berasaskan produk pertanian.
  • Ho Chi Yang berharap bahawa dengan membangunkan Pusat Data AI yang memberi fokus kepada sektor pertanian, ia akan menjadi pemangkin kepada transformasi sektor pertanian ke arah pertanian pintar dan membantu merancakkan penggunaan teknologi pertanian digital (DATs) yang mampu meningkatkan produktiviti pertanian, efisienci, daya saing, dan kemampanan sektor pertanian.
  • Demi memastikan pembangunan pusat data dapat memberi impak besar dan membantu mentransformasikan sektor pertanian, infrastruktur asas digital amat diperlukan demi mempertingkat keterhubungan luar bandar (rural connectivity) termasuk kawasan pertanian yang biasanya terletak jauh dari kawasan pekan dan bandar.
  • Ho Chi Yang mengucapkan Syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana telah menambah dan mempertingkatkan infrastruktur seperti menara telekomunikasi, memperkenalkan perkhidmatan internet satelit di kawasan Cameron Highlands.
  • Ho Chi Yang juga berharap agar usaha ini terus dipertingkatkan, dan ingin menarik perhatian agensi Kerajaan seperti MCMC dan jabatan Kerajaan berkenaan terhadap isu perkhidmatan talian dan internet yang sering terputus dalam kawasan pertanian di kawasan Lembah Bertam dan Batu 49, Kuala Terla, Cameron Highlands.
  • Memandangkan negara Malaysia telah kian muncul sebagai hub pusat data terbesar di Asia Tenggara, negeri Pahang boleh juga merebut peluang ini dengan menunjukkan komitmen negeri terhadap inovasi teknologi.
  • Semestinya langkah ini akan membantu merancakkan pertumbuhan strategik dalam ekonomi digital, yang akan membawa impak limpahan dan mewujudkan peluang pekerjaan yang bernilai dan berimpak tinggi untuk golongan anak muda.
3. Meningkatkan Sektor Ekopelancongan Bagi Mewujudkan Persekitaran Yang Mesra Dan Menarik Untuk Pelancong
  • Demi memudahkan pelancong luar negara untuk mengakses dan memohon permit mendaki gunung, Ho Chi Yang mencadangkan agar laman web Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan terutamanya bahagian Sistem e-Ecopark dipaparkan juga dalam pelbagai bahasa, termasuk Bahasa Inggeris.
  • Selain itu, kaedah bayaran juga perlu ditambah agar pelancong luar Negara boleh membuat bayaran fi dengan menggunakan Visa, Mastercard, American Express dan sebagainya. Hal ini demikian kerana pelancong luar negara tidak boleh membuat permohonan secara atas talian dan perlu hadir ke Pejabat Hutan, sama ada sendiri atau melalui agensi.
  • Di samping itu, Mossy Forest juga merupakan salah satu tarikan ekopelancongan kerana mempunyai panorama hijau, kawasan berlumut, berkabus, dan suhu yang lebih rendah. Ho Chi Yang merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan Jabatan Perhutanan kerana menjaga dan menyelenggara kawasan tersebut dengan baik dan penuh dedikasi, bagi terus memastikan Mossy Forest menarik pelancong dan menjaga kelestarian alam sekitar di kawasan tersebut.
  • Walau bagaimanapun, Ho Chi Yang dimaklumkan bahawa Jabatan Perhutanan akan menutup Mossy Forest pada tempoh tertentu seperti musim Perayaan Hari Raya. Walaupun ia adalah munasabah kerana pegawai Pejabat Hutan juga perlu bercuti raya, pada masa yang sama ramai pelancong memilih untuk datang ke Cameron Highlands dan berminat untuk mengunjungi Mossy Forest.
  • Maka, Ho Chi Yang mencadangkan agar beberapa hari tersebut boleh diumumkan sebagai Hari Percuma atau Rumah Terbuka Mossy Forest, agar pelancong boleh meneruskan perancangan dan tidaklah kecewa apabila mendapati Mossy Forest ditutup.
  • Kerjasama dengan pemain industri tempatan juga boleh dipertimbangkan agar Mossy Forest kekal dibuka pada tempoh tertentu agar pelancong yang datang dari seluruh negara dan luar negara boleh meneruskan perancangan perjalanan mereka ke Mossy Forest.
  • Susulan daripada lawatan Presiden China ke Malaysia, pelbagai MoU telah ditandatangani, Malaysia dan China bersetuju melanjutkan program pengecualian visa bagi tempoh 90 hari secara bersama untuk tempoh lima tahun lagi. Program pengecualian visa dijangka akan membantu meningkatkan lagi pelancong China ke Malaysia, termasuk Pahang.
  • Oleh itu, Ho Chi Yang menyeru Kerajaan Pahang untuk merebut peluang keemasaan ini dengan mewujudkan persekitaran pelancongan yang lebih mesra, dengan menawarkan pelbagai pilihan bahasa termasuk Bahasa Mandarin untuk menarik minat lebih ramai pelancong China untuk mengunjungi laman web dan berminat untuk melawat ke pelbagai destinasi pelancongan yang menarik di Pahang.
4. Mencadangkan Pembinaan Balai Bomba di Kampung Raja Bagi Meningkatkan Tahap Keselamatan Penduduk Cameron Highlands
  • Kini, kawasan Cameron Highlands mempunyai Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Cameron Highlands yang terletak di Brinchang, dengan jarak kira-kira 16 kilometer dari Kampung Raja.
  • Jaraknya terlalu jauh untuk mengambil tindakan kecemasan pantas sekiranya berlaku kebakaran atau kejadian tidak diingini, dan kesesakan lalu lintas mungkin menambah lagi kesukaran bagi pihak Bomba.
  • Ho Chi Yang berharap agar pihak Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan ini dengan mengkaji lokasi yang sesuai, termasuk tanah lapang di Taman Desa Corina, Kampung Raja, yang mungkin sesuai untuk dijadikan sebagai tapak Balai Bomba demi meningkatkan tahap keselamatan penduduk Cameron Highlands.
5. Memelihara Perpaduan Antara Berbilang Kaum Dan Menolak Politik Kebencian.
  • Keharmonian masyarakat perpaduan rakyat berbilang kaum di Malaysia dan khususnya di Negeri Pahang telah selama ini membantu membina sebuah negeri yang kian maju dan menjadi kebanggaan semua.
  • Dalam persekitaran luaran dan geopolitk yang semakin mencabar, kita tidak boleh lagi terperangkap dalam retorik perkauman dan politik sempit yang hanya merosakkan perpaduan dan memudaratkan keharmonian rakyat, seterusnya membawa kesan terhadap pembangunan sosial dan ekonomi.
  • Ho Chi Yang berasa bangga bahawa perbahasan dalam Sidang DUN Negeri Pahang selama ini secara amnya adalah profesional dan matang, rata-ratanya ahli-ahli yang berhormat berbicara berdasarkan fakta, data, dan justifikasi yang munasabah.
  • Janganlah kita sesekali mencontohi sikap seorang ketua pembangkang yang baru-baru ini digantung oleh Dewan sesebuah negeri, kerana asyik menabur fitnah dan memainkan sentiment perkauman tanpa rasa segan.
  • Sama ada dalam dewan atau di luar, individu tersebut berkali-kali mereka cerita dongeng yang bukan-bukan, contohnya menuduh warganegara Malaysia yang pegang bendera Negara China, tetapi hakikatnya mereka adalah warganegara China; menuduh Menteri Belia dan Sukan YB Hannah yeoh adalah sepupu dengan pemilik Syarikat yang mempunyai surname Yeoh.
  • Sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat, kita perlu memikul amanah dan tanggungjawab untuk memberi cadangan penambahbaikan, mempersoal, malahan mempertikai dan membahas sesuatu polisi melalui perspektif yang konstruktif demi manfaat seluruh rakyat, tetapi tuduhan liar yang berunsur perkauman hanya akan mengeruhkan keadaan, mewujudkan ketidakpercayaan dan prasangka buruk yang melampau, dan akhirnya merosakkan keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk.
  • Buang yang keruh, ambil yang jernih. Ho Chi Yang berharap agar Negeri Pahang boleh terus menjadi teladan kepada negeri lain dengan berbicara berdasarkan fakta, data, dan justifikasi yang kukuh, meningkatkan tahap diskusi politik, menolak politik fitnah dan pembohongan, dan kebencian, demi mempertahankan keharmonian, perpaduan, dan pembangunan negeri.