Skip to content

Hussein Onn memberitahu saya bahawa kesilapan terbesar dalam hidupnya adalah menjadikan Mahathir sebagai Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1976 yang telah membolehkan Mahathir menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali selama hampir suku abad

Perdana Menteri Malaysia yang ketiga, Tun Hussein Onn, memberitahu saya selepas persaraannya pada tahun lapan puluhan yang kesilapan terbesar dalam hidupnya adalah menjadikan Mahathir sebagai Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1976 yang telah membolehkan Mahathir menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali selama hampir suku abad.

Pemilihan Mahathir sebagai Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1976, selepas enam minggu tanpa keputusan, memilih Mahathir berbanding Ghafar Baba, Tengku Razaleigh Hamzah, dan Ghazali Shafie, adalah kesilapan terbesar Hussein Onn yang disaksikan semalam apabila Mahathir mendakwa yang mempromosikan Malaysia majmuk adalah perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan DAP adalah ancaman terhadap orang Melayu dan Islam.

Mahathir menuduh yang usaha mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk berbilang kaum bertentangan dengan perlembagaan dan DAP mengugut Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menggantikan Islam sebagai agama rasmi negara kepada sebuah negara sekular atau sebuah negara tanpa agama rasmi dengan angka yang ada.

Mahathir amat salah sama sekali.

Adakah DAP, yang ada 42 orang Ahli Parlimen selepas Pilihan Raya Umum 2018 – angka yang lebih besar berbanding dengan sekarang – mengugut Mahathir selama 22 bulan dia mengetuai kerajaan Pakatan Harapan untuk menggantikan Islam sebagai agama rasmi negara?

Semasa Mahathir bercakap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada bulan September 2018 dan berjanji untuk meratifikasikan perjanjian-perjanjian antarabangsa, termasuklah Konvensyen Antarabangsa untuk Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman (ICERD), DAP tidak tahu menahu apa-apa mengenai cadangan ini walaupun DAP kemudiannya dijadikan sasaran untuk dipersalahkan dan dituduh sebagai kononnya anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja.

Walaupun Mahathir telah menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali selama hampir suku abad, dia kelihatan seperti tidak tahu apa-apa mengenai Perlembagaan.

Saya minta Mahathir untuk baca Perkara 3 Perlembagaan Malaysia, di mana tidak ada sebarang rujukan terhadap apa-apa agama rasmi.

Perkara 3(1) menyatakan: “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”

Tidak ada apa-apa peruntukan untuk apa-apa agama rasmi dalam Perlembagaan Malaysia. Tetapi persefahaman dan toleransi golongan bukan Islam di Malaysia terhadap Islam di Malaysia adalah dalam bentuk di mana semua rakyat Malaysia, sama ada Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, atau Tao, tidak mempunyai bantahan untuk Islam menjadi agama rasmi di Malaysia. Perkara yang sama juga terpakai kepada DAP.

Saya tidak tahu dari mana Mahathir mendapat tanggapan yang mempromosikan negara majmuk berbilang kaum sebagai bertentangan dengan Perlembagaan.

Adakah Mahathir mengatakan yang Wawasan 2020 dan sembilan cabaran strategiknya juga bertentangan dengan perlembagaan?

Tiga Perdana Menteri terawal negara, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn berpegang dengan idea negara majmuk.

Boleh lihat kepada Perkara 43(2) Perlembagaan yang tidak meletakkan identiti kaum untuk siapa yang boleh menjadi Perdana Menteri, sebaliknya mengatakan Perdana Menteri perlulah mempunyai sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen yang diundi rakyat.

Saya ulangi semula apa yang saya katakan tahun lepas:

“Di Amerika Syarikat, seorang lelaki berkulit hitam, Barack Obama, telah menjadi Presiden Amerika Syarikat, tetapi perkara ini hanya berlaku selepas 230 tahun tertubuhnya negara tersebut sejak tahun 1776.

“Sama ada akan ada seorang Perdana Menteri bukan Melayu dalam abad ke-22 atau ke-23 akan bergantung kepada sama ada politik identiti akan terus kekal dalam bentuk asasnya dalam lanskap politik negara seperti hari ini.

“Sekiranya persoalan mengenai sama ada seorang bukan-Melayu boleh menjadi Perdana Menteri ini ditanyakan enam puluh tahun yang lalu kepada Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Dr. Ismail, Tun Hussein Onn, Tun Tan Cheng Lock, Tun Tan Siew Sin, atau Tun V.T. Sambanthan, mereka pastinya akan tanpa ragu-ragu menjawab ya memandangkan tidak ada sebarang halangan daripada Perlembagaan untuk perkara ini – yang merupakan satu perkara yang berbeza dengan sama ada ia akan berlaku atau tidak.”

Tidak ada syak wasangka atau kebencian di antara kaum-kaum dan agama-agama dalam masyarakat majmuk berbilang etnik, bahasa, agama, dan budaya di Malaysia dan Malaysia berada di tempat yang baik untuk menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.

Tetapi, ada sesetengah pihak di dalam negara yang mahukan perkara sebaliknya, mereka mahu melaga-lagakan antara satu kaum dengan kaum yang lain dan satu agama dengan agama yang lain dan mengeksploitasi penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian dalam enam pilihan raya negeri yang bakal berlangsung.

Menjadi satu tragedi apabila dalam kalangan pihak ini, ada seorang individu yang pernah menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali selama hampir suku abad, yang telah mencipta rekod dunia dengan kehilangan deposit pilihan rayanya dalam pilihan raya parlimen.

DAP telah dituduh sebagai mengeksploitasi isu 3R yang sebenarnya tidak betul dan tidak berasas sama sekali.

Malah, dari mula lagi, sejak pilihan raya umum pertama yang ditandingi DAP pada tahun 1969, DAP telah meletakkan calon yang mewakili semua kaum dan agama.

Dua orang calon Melayu Islam telah diundi menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri, dah seorang dari mereka, Ibrahim Singgeh, yang telah menang di kerusi DUN Tapah Road dengan 3,319 undi berbanding dengan 2,986 undi yang diperolehi oleh calon Perikatan dan 753 undi yang diperoleh calon PAS, telah diumumkan sebagai calon Menteri Besar Perak DAP untuk pilihan raya umum 1974.

Pada tahun 1999, Lim Guan Eng telah mengorbankan kerusi parlimen Kota Melaka dan ke penjara untuk mempertahankan maruah seorang gadis Melayu bawah umur.

Adakah mana-mana pemimpin PAS yang telah membuat pengorbanan untuk mana-mana gadis Melayu bawah umur sebegini, apatah lagi untuk mana-mana wanita Malaysia dari kaum atau agama lain?

Memang sudah menjadi fakta yang diketahui umum dan disahkan yang Presiden PAS, Hadi Awang, telah membuat pelbagai tuduhan yang tidak berasas dan bersifat jahat terhadap DAP dan juga saya secara peribadi, kononnya saya ini anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, komunis, dan mempromosikan Islamofobia – tetapi apabila dicabar berkali-kali untuk membuktikan tuduhan-tuduhan tidak masuk akal ini, dia gagal untuk berbuat demikian.

Menjadi satu perkara yang memalukan Malaysia apabila kini Mahathir pula memilih untuk mengikut jejak langkah Hadi.