Merujuk kepada klip video yang dimuat naik oleh Ahli Parlimen PAS Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berhubung dengan tindakan beliau yang mengambil peranan sebagai “moral police” untuk berurusan dengan pengurusan sebuah pusat membeli belah di Seberang Jaya berhubung dengan satu aktiviti promosi minuman bir, saya berpendapat bahawa ia bukan peranan seorang Ahli Parlimen atau wakil rakyat untuk memainkan peranan polis moral untuk mengambil tindakan ke atas aktiviti yang pada hemah beliau sendiri adalah tidak patut.
Secara jelas dan nyata, aktiviti promosi minuman bir ini dibuat sempena dengan sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang akan menjelang tidak lama lagi, dan adalah sangat nyata dan jelas, aktiviti promosi ini adalah ditujukan kepada golongan bukan muslim serta dianjurkan dengan mematuhi segala undang-undang yang sedia ada. Tindakan untuk berperanan sebagai polis moral oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh ini bukan sahaja terpesong daripada peranan beliau sebagai wakil rakyat, malah tindakan ini akan mengugat masyarakat majmuk yang ada di Pulau Pinang ini.
Sekiranya Ahli Parlimen Permatang Pauh mengambil tindakan sebagai penguatkuasa terhadap aktiviti promosi ini, apakah beliau akan mengambil tindakan penguatkuasa terhadap aktiviti kebudayaan dan keagamaan yang diamalkan sekian lama oleh masyarakat berbilang kaum di Pulau Pinang ini?
Saya turut menyatakan solidariti saya terhadap Pusat Membeli Belah tersebut di mana sekiranya aktiviti promosi tersebut dianjurkan dengan mematuhi syarat-syarat dan undang-undang Kerajaan Tempatan berkenaan, Pusat Membeli Belah tersebut tidak patut menunduk terhadap ahli politik yang berfikiran sempit dan memainkan peranan polis moral ini. Aktiviti promosi sebegini sememangnya telah dianjurkan di Pulau Pinang sekian lama tanpa mengugat perasaan atau sensitiviti mana-mana pihak.
Saya juga turut mengucapkan “terima kasih” kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh kerana “membantu” mempromosikan aktiviti promosi minuman bir ini.
Terima kasih kepada YB Muhammad Fawwaz di atas video yang dimuat naik dan memaklumkan kepada semua bahawa terdapat aktiviti promosi minuman bir di pusat membeli belah tersebut.