Skip to content

Ibrahim Ali harus mempersoalkan Umno mengenai TPPA dan bukannya DAP

Saya merujuk kenyataan Presiden Perkasa Dato’ Ibrahim Ali yang mempersoalkan sama ada DAP akan mempertahankan hak Bumiputera dalam konteks Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) yang bakal ditandangani oleh Kerajaan Malaysia setelah dibentangkan di Parlimen.

Menurut laporan berita, beliau berkata, “Saya ingin tahu apakah pendirian DAP, khususnya sama ada parti tersebut akan memberi perhatian kepada hak Bumiputera dalam TPPA.”[1]

DAP hanya sokong TPPA jika ia memanfaatkan semua rakyat Malaysia

Sebenarnya, pendirian DAP dalam isu TPPA ini amat mudah. Sepertimana dasar-dasar lain juga, DAP hanya akan menyokongnya jika perjanjian tersebut akan membawa kemaslahatan dan kelebihan kepada rakyat Malaysia secara umum, termasuk orang Melayu yang membentuk majoriti di negara ini.

Dalam erti kata lain, sekiranya TPPA berjaya menurunkan kos sara hidup yang kian melambung, memperkukuhkan nilai matawang ringgit yang kian merudum, serta menyelamatkan ekonomi negara yang kian bercelaru ini, maka DAP tidak akan membantah.

Sebaliknya, jika TPPA mengakibatkan kenaikan harga barang dan merumitkan lagi keadaan ekonomi rakyat kebanyakan, maka sudah pasti DAP akan menentangnya secara habis-habisan.

Umno yang akan mendatangani TPPA, bukan DAP

Namun begitu, sehingga sekarang, perincian TPPA belum lagi dikongsikan dengan rakyat Malaysia mahupun Ahli Parlimen. Justeru, DAP menggesa agar isi kandungan perjanjian tersebut segera didedahkan, bersama dengan analisa kos-faedah (cost-benefit analysis) agar kita semua dapat memastikan dengan jelas impak TPPA ke atas rakyat.

Buat masa ini, orang yang lebih mengetahui isi kandungan TPPA dengan menyeluruh adalah Dato’ Sri Mustapa Mohamed selaku menteri yang bertanggungjawab. Oleh itu, Ibrahim Ali seharusnya mengajukan segala kemusykilan serta persoalan kepada Mustapa dan Kerajaan Umno yang bakal menandatangani perjanjian tersebut, dan bukannya kepada DAP.

Isu TPPA ini adalah sesuatu yang mempunyai impak yang cukup besar ke atas masa depan segenap rakyat Malaysia. Ia bukan isu yang membabitkan satu golongan tertentu sahaja, dan tidak wajar dibahas dari sudut yang sempit. Daripada menarik DAP ke dalam polemik dangkal perkauman, Ibrahim Ali patut menuntut penjelasan yang lebih terperinci dan telus daripada Kerajaan Umno.