Skip to content

Ibubapa dan pelajar harus digalakkan untuk memilih jurusan pergigian untuk merapatkan jurang nisbah pengamal pergigian dan penduduk

Di antara bidang profesional yang penting tetapi masih kurang di negara ini ialah profesion pergigian. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan nisbah doktor pergigian kepada penduduk ialah pada kadar 1:5000.

Untuk mencapai sasaran itu lebih ramai doktor pergigian perlu dilatih sama ada di dalam atau di luar negara. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan menyediakan perkhidmatan pergigian yang selesa kepada rakyat di negara ini.

Untuk mengekalkan kesihatan gigi, kita memerlukan pemeriksaan rawatan danipada doktor gigi. Sekurang-kurangnya dalam setahun untuk memeriksa dan menjaga gigi kita.

Sejarah pengajian akademik di bidang pergigian di negara bermula apabila kumpulan pertama seramai 32 orang penuntut bagi sesi 1972/73 diterima masuk ke Fakulti Pergigian, Universiti Malaya (UM).

Kerajaan harus memberi galakkan kepada pelajar-pelajar kita untuk memilih bidang pergigian untuk mengatasi masalah kekurangan doktor gigi di negara kita. Pada masa ini, lebih ramai di antara pelajar-pelajar kita memilih jurusan doktor perubatan. Pada masa ini dikatakan negara kita mengalami lambakan doktor perubatan.

Kesedaran kepada ibubapa juga perlu diberi tentang hakikat ini supaya mereka akan berminat menghantar anak-anak mereka melanjutkan pelajaran dalam jurusan pergigian yang ada permintaan tinggi. Ini adalah penting untuk mencapai sasaran seperti negara maju iaitu 1: 3000 pada tahun 2020.

Mengikut data yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan, terdapat 4947 orang pengamal pergigian di Malaysia sehingga 30 September 2013. Nisbah pengamal pergigian kepada penduduk di negara kita adalah 1 : 6436. Terbukti bahawa kita kekurangan pengamal pergigian di negara kita.

Pada masa ini 60% Pengamal Pergigian masih tertumpu dalam perkhidmatan awam. Peluang di perkhidmatan swasta juga agak besar dan boleh memberi pendapatan yang agak lumayan kepada Pengamal Pergigian.

Bilangan pengamal pergigian dikatakan akan bertambah dengan pengeluaran graduan pergigian daripada 15 buah institusi pengajian tinggi tempatan. Saya memohon kepada menteri untuk menyenaraikan 15 buah institusi pengajian tinggi tersebut dan kos yang terlibat dalam menghasilkan seorang graduan tempatan.

Setakat ini universiti-universiti luar negara yang manakah diiktiraf oleh kerajaan kita dalam jurusan pergigian? Diminta menteri menyenaraikan nama institusi-institusi tersebut dan yuran yang terpaksa ditanggung oleh seseorang pelajar. Nyatakan juga jumlah pelajar jurusan pergigian yang mengikuti kursus di peringkat sarjana muda dan sarjana di luar negara yang ditanggung oleh kerajaan dan yang dibiayai sendiri.