Skip to content

Idris Ahmad tidak boleh tangani isu seksual macam beri ceramah PAS

Tindak-tanduk Menteri Agama Idris Ahmad mengulas kes ganguan seksual melibatkan pendedahan seorang pelakon remaja baru-baru ni tak ubah bagaikan ‘memberi ceramah PAS’.

Bagi saya sebagai Menteri Agama, Idris perlu lebih profesional dan cakna. Sepatutnya beliau boleh terus menangani kes ini secara berhemah dan pada masa yang sama secara peribadi menasihati mangsa agar tidak mensensasikan kes itu. Beliau boleh menasihatkan masyarakat Islam atau bukan Islam agar tampil membuat laporan Polis atau pihak yang berkenaan jika kes seumpama ini berlaku.

Agama Islam sendiri adalah agama nasihat, bukan sekadar hukuman. Cara penyampaian atau teguran mesti dibuat secara berhikmah mengikut keadaan masyarakat dan semasa. Dalam perkara melibatkan kemaslahatan masyarakat, Islam tidak menggariskan hanya satu-satu tindakan sahaja perlu dibuat untuk selesaikan masalah. Malah ia perlu dilaksanakan secara berhemah atau dengan kata lain, bertindaklah dengan bijaksana. Silap langkah, akan timbul salah faham terhadap ajaran Islam.

Bila netizen memberi komen melihat beliau seolah-olah membela pelaku berbanding mangsa, beliau ‘melenting’, tapi adakah beliau sedar sebagai Menteri Agama, beliau tidak boleh mendoktrinkan masyarakat umum seperti memberi ceramah PAS, dia sahaja betul, orang lain kena ikut. Masyarakat kita terdiri dari pelbagai agama dan latar belakang kepercayaan, tingkat pemahaman. Sebab itu saya tekankan, pendekatan Idris dalam hal ini perlu berhikmah.

Yang menilai prestasi dan tindak tanduk Menteri Agama ini bukannya PH, tapi daripada masyarakat awam sendiri, suka atau tidak, Idris perlu akui kelemahan tersebut.