Skip to content

Idrus Harun harus jelaskan mengapa Jabatan Peguam Negara diberi kebenaran bersama agensi kerajaan yang tidak diketahui untuk bertemu dengan penjenayah yang dikehendaki Jho Low

Malaysia selama ini gagal untuk menjejaki ahli perniagaan yang melarikan diri, Low Taek Jho yang juga merupakan dalang utama dalam skandal RM52 bilion 1MDB. Jho Low termasuk dalam senarai notis merah orang yang dihendaki Interpol dan turut didakwa tanpa kehadiran (charged in absentia) di mahkamah Amerika Syarikat dan Malaysia. Anehnya, Jho Low dengan mudah dapat menghubungi terus Peguam Negara Idrus Harun malah wakil Jho Low dapat mengadakan pertemuan bersama Jabatan Peguam Negara (AGC).

Tindakan Idris membenarkan AGC untuk bertemu wakil Jho Low adalah salah. Idrus harus menjelaskan mengapa AGC yang sepatutnya memburu Jho Low, sanggup berjumpa dengan wakil Jho Low itu. Bukankah Idrus sedang menghantar mesej salah yang penguatkuasa undang-undang tertinggi negara kini sedia berbincang dengan penjenayah yang dikehendaki dan bukannya menegakkan undang-undang tanpa takut dan pilih kasih?

Jelas sekali Jho Low terus mempunyai pengaruh dalam jabatan kerajaan sehingga dia dapat menghubungi mantan Peguam Negara Mohamed Apandi Ali untuk bertindak dan mengatur mesyuarat bersama AGC dan agensi-agensi kerajaan yang tidak diketahui bagi pihak Jho Low. Adakah Apandi Ali akan menjelaskan hubungan beliau dengan Jho Low dan adakah terdapat timbal balas dari hubungan tersebut?

Persoalan besar ini wajib dijawab memandangkan Mohamed Apandi juga telah membersihkan nama mantan Perdana Menteri Najib Razak dari sebarang salahlaku dalam 1MDB pada 2016 ketika bertugas sebagai Peguam Negara di bawah pentadbiran Najib. Secara tidak langsung, tindakan Mohamad Apandi membersihkan nama Najib dari kesalahan juga akan menguntungkan Jho Low ketika itu untuk bertangungjawab terhadap skandal kewangan terbesar di dunia yang melibatkan sejumlah RM 52 bilion.

Selepas kejatuhan kerajaan BN pada 2018, Najib telah didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai PM, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk menerima imbuhan. Dia juga kini menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan sejumlah RM4.3 bilion wang 1MDB.

Sementara perbicaraan mahkamah untuk kes ini masih berlangsung, Najib telah dijatuhkan hukuman bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020 kerana menyalahgunakan kuasa bagi membenarkan RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada SRC International Sdn Bhd, bekas subsidari 1MDB.

Diq juga telah didapati bersalah dalam tiga pertuduhan jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan sejumlah RM42 juta dana SRC yang disalurkan ke akaun bank peribadinya antara 26 Disember 2014 hingga 10 Februari 2015 dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Mohamad Apandi telah mendedahkan bahawa perjumpaan itu bertujuan untuk membincangkan pembayaran semula wang yang disyaki dicuri Jho Low daripada 1MDB berjumlah RM1.5 bilion bagi menggugurkan sebarang pertuduhan jenayah ke atas Jho Low. Mohamad Apandi menyatakan bahawa perjumpaan tersebut adalah “positif” tetapi akhirnya dihentikan oleh AGC.

DAP tegas menentang sebarang perbincangan dengan Jho Low apatah lagi melibatkan pembayaran semula sama ada RM 1.5 bilion ataupun apa-apa jumlah sekalipun sebagai pertukaran untuk melepaskan dia dari sebarang jenayah yang telah dilakukan. Ini bukan sahaja tidak bermoral dan tidak beretika malah juga salah di sisi undang-undang. Hakikatnya, semua aset Jho Low yang terlibat dalam kes ini, bernilai berbilion-bilion ringgit wajar disita selepas perdakwaan dan dijatuhkan hukuman.