Skip to content

Terkejut dengan tindakan Universiti Teknologi MARA mengadakan program seminar anti-Kristianisasi

Kita sekali lagi dikejutkan dengan tindakan Universiti Teknologi MARA mengadakan program seminar anti-Kristianisasi. Saya merujuk kepada keratan berita dari Malaysiakini bertajuk “UiTM, police host seminar against Christianisation” bertarikh 14 Disember 2015 dan The Malaysian Insider bertajuk “UiTM anjur satu lagi seminar anti-Kristian” bertarikh yang sama.

UiTM cawangan Melaka menganjurkan seminar itu pada hari Sabtu lepas 12 Disember 2015 dan dihadiri oleh mahasiswa beragama Islam. Salah satu foto slaid pembentangan bertajuk “Ancaman Gerakan Permurtadan Kristianisasi” dilampirkan bersama keratan berita tersebut.

Pada 6 Mei 2014, UiTM juga telah mengadakan seminar yang lebih kurang sama di mana salah satu tajuk pembentangannya adalah “Ancaman Kristinianisasi” di cawangan UiTM Shah Alam.

Apabila dihubungi oleh pihak Malay Mail Online, Ketua Komunikasi Korporat UiTM Melaka Siti Najah Raihan mengatakan bahawa ini adalah program untuk memantapkan akidah mahasiswa Islam.

Salah seorang dari peserta seminar tersebut mengatakan “It didn’t feel like it was for akidah (faith), it felt more like putting down other religions,”[1]

Saya tertanya-tanya dengan logik pihak UiTM dalam perkara ini. Adakah cara untuk menguatkan akidah umat Islam adalah dengan memburuk-burukan agama lain? Adakah Islam itu tidak cukup indah sehingga perlu memburukan agama lain untuk membuktikan keindahannya?

Mengapa tiada apa-apa tindakan diambil ke atas mereka yang menganjurkan seminar berbaur provokasi keagamaan pada tahun lepas dan pada kali ini? Ini jelas menunjukkan UiTM membenarkan aktiviti provokasi keagamaan yang tidak sihat dan ingin menimbulkan kebencian di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Sekiranya niat UiTM adalah benar untuk menguatkan akidah mahasiswa Islam, saya percaya ada cara yang lebih baik dari menggunakan sudut pemomokkan agama lain. Cuba bayangkan sekiranya aktiviti yang sama dilakukan bertajuk anti-Islam di institusi pengajian tinggi? Saya percaya umat Islam yang lain akan tersinggung dan secara langsung akan menimbulkan kemarahan mereka. Seminar ini adalah satu perkara yang amat tidak bertanggung-jawab dan mampu menimbulkan kebencian antara kaum dan agama. Apabila dilakukan di dalam institusi pengajian tinggi yang juga mempunyai kakitangan dan mahasiswa beragama Kristian, ini secara tidak langsung cuba menimbulkan tegangan agama antara mereka selain membawa kesan buruk terhadap pergaulan antara-agama mahasiswa di luar kampus.

Sebagai negara yang berbilang kaum dan agama, Malaysia sepatutnya menghormati kebebasan setiap agama dan mengadakan lebih banyak program antara-agama (interfaith) untuk meningkatkan pemahaman antara satu sama lain ke arah Malaysia yang lebih harmoni.

Kita dan terutamanya UiTM sepatutnya mencontohi usaha Interfaith Network of the City of Greater Dandenong[2] di Australia yang giat mengadakan aktiviti dengan objektif untuk mengalakkan pemahaman, hormat-menghormati, penerimaan dan toleransi antara satu sama lain untuk hidup secara aman dan harmoni tanpa kecurigaan antara satu sama lain.

Saya menggesa supaya Dato’ Seri Idris Jusoh Menteri Pendidikan Tinggi dan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi dapat memantau aktiviti fobia agama ini dan menghentikannya dari berlaku lagi di institusi pengajian tinggi awam di Malaysia. Selain itu tindakan harus diambil ke atas Universiti Teknologi MARA yang bertanggungjawab kerana menggalakan aktiviti provokasi keagamaan sebegini. Ini untuk menunjukkan keseriusan pihak kerajaan dalam menolak aktiviti provokasi agama yang sedemikian.

Sebagai seorang yang beragama Islam saya percaya Islam adalah cukup indah untuk didakwah tanpa perlu anti sesiapa pun.

Sumber:
[1] Christians proselytise using ‘gold, glory, gospel’, students told https://www.malaysiakini.com/news/323338

[2] The Interfaith Network of the City of Greater Dandenong http://www.interfaithnetwork.org.au/