Saya ingin mengucapkan tahniah kepada sahabat saya YB Steven Sim, Menteri Sumber Manusia, atas kejayaan pembentangan Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 (RUU OBS) untuk bacaan kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat pada Isnin lalu.
Ini merupakan langkah tepat bagi memenuhi hasrat Kerajaan MADANI untuk menaikkan martabat golongan pekerja di serata negara termasuk di Sabah. Sebagai contoh, penetapan standard minimum bagi perumahan, penginapan, dan kemudahan asas pekerja di ladang-ladang bukan sahaja menjamin kebajikan mereka tetapi juga menyelaraskan instrumen perundangan Sabah dengan konvensyen antarabangsa, lantas meningkatkan kesediaan industri kita untuk memenuhi syarat-syarat perundangan antarabangsa seperti Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR). Langkah ini tentunya menambahkan daya saing hasil eksport negara umpanya keluaran sawit dan getah, kerana keupayaan pemain-pemain industri kita beroperasi dalam kerangka mampan dan lestari.
Selain itu, usaha mengukuhkan jaminan perlindungan para pekerja adalah langkah asas dan perkara utama bagi memastikan kelangsungan pasaran buruh Sabah kekal mampan. Dengan adanya usaha bersepadu antara kerajaan dan pemain industri untuk menjadi persekitaran pekerjaan lebih kondusif, isu penghijrahan bakat ke luar Sabah juga dapat diatasi.
Dalam hal ini, RUU OBS meluaskan perlindungan kepada semua pekerja swasta tanpa mengira jumlah upah atau jenis pekerjaan. Kelayakan bayaran lebih masa, bayaran cuti umum dan hari rehat serta faedah penamatan turut diperluaskan kepada lebih ramai pekerja, dinaikkan kepada pekerja bergaji di bawah RM4,000.00 daripada RM2,001 sebulan. Ia juga meningkatkan faedah pekerja dalam menikmati hari kelepasan am berbayar kepada 15 daripada 14 hari dengan penambahan Hari Malaysia (16 September) sebagai hari kelepasan am berbayar yang wajib diberikan kepada pekerja.
Bagi memantapkan perlindungan kepada pekerja berkeluarga, seksyen baharu berkenaan larangan memberhentikan pekerja wanita yang mengandung sewenang- wenangnya atas sebab kehamilan turut disertakan. Kelayakan cuti bersalin pekerja wanita pula ditingkatkan kepada 98 hari berbanding 60 hari sebelum ini. Dalam pada masa yang sama peruntukan baharu berhubung cuti paterniti berbayar selama tujuh (7) hari juga dimasukkan dan peruntukan bagi mencegah eksploitasi kanak-kanak dan orang muda diperkenalkan.
Diharapkan agar peruntukan-peruntukan ini menjadi asas bagi meningkatkan taraf hidup golongan pekerja yang menjadi nadi menggerakkan sektor-sektor ekonomi Sabah dan negara.