Industri Automotif nerupakan industri yang mempunyai potensi yang cukup tinggi di negara kita. Rata-rata semua orang suka memiliki kenderaan sendiri. Adalah tidak ganjil untuk masyarakat Malaysia memilih 2 atau 3 kereta untuk kegunaan satu rumah. Sudah menjadi adat anak-anak muda kita membeli kereta sebaik sahaja mendapat satu pendapatan yang sederhana.
Apabila kemampuan meningkat, citarasa juga turut berubah. Kecenderungan untuk memiliki kenderaan mewah akan timbul apabila pendapatan telah meningkat dan kemahuan untuk menikmati keselesaan dan gaya hidup yang unggul.
Semua ini membuktikan bahawa industri automotif boleh berkembang maju di negara kita. Kita juga maklum bahawa jumlah kenderaan terutamanya kereta semakin meningkat. Jika kita bandingkan 10 tahun yang lalu dan sekarang, kita dapat melihat perbezaan yang cukup banyak dan nyata.
Secara realitinya, pengunaan kederaan bermotor telah meningkat berlipat ganda. Kita juga yakin bahawa dalam 10 tahun akan datang jumlah kenderaan juga akan bertambah berlipat ganda berbanding dengan jumlah sekarang.
Potensi dalam industri automotif harus diberi perhatian oleh kerajaan. Industri ini mampu menyediakan ribuan peluang pekerjaan pada masa hadapan. Kerajaan harus mewujudkan lebih banyak program untuk melatih tenaga kerja mahir dan separa mahir bagi industri automotif ini.
Walaupun kerajaan bersama Malaysia Automotive Institute (MAI) telah memperkenalkan beberapa program seperti Industrial Professional Certification, Automotive Industry Certification Engineering Program, Customized Human Capital Development Program, Automotive Apperentticeship Programme for Aftermakert dan sebagainya, tetapi masih terdapat potensi yang lebih tinggi dalam industri ini.
Kerajaan harus memberi galakkan yang lebih kepada anak-anak muda kita untuk memilih sektor ini. Pada masa ini minat di kalangan anak-anak muda kita masih rendah dalam bidang ini. Mereka lebih berminat kerja-kerja kolar putih walaupun pendapatan tidak seberapa. Peranan ibubapa juga adalah penting dalam memberi pedoman kepada anak-anak mereka dalam memilih bidang kerja yang mempunyai masa hadapan yang cerah.
Setiap pemilik kenderaan akan menghadapi masalah kerosakan pada kenderaan tersebut, pasti ada ‘wear and tear’. Kenderaan perlu diberi servis dalam tempoh tertentu, kemalangan berlaku setiap hari, kerja –kerja kimpalan dan cat, servis penghawa dingin, pelekat cermin gelap, bermacam-macam aksesori kenderaan, penggantian tayar dan sebagainya adalah antara kerja-kerja harian yang mempunyai potensi tinggi. Industri ini boleh menghasilkan banyak peluang pekerjaan jika dirancang, diatur dan distrukturkan dengan baik.
Kita juga harus melatih pekerja-pekerja kita sendiri dalam industri automotif untuk menggantikan pekerja asing di syarikat-syarikat yang terlibat.