Skip to content

Ingatkan Chong Sin Woon bahawa rakyat kini mempunyai pemikiran yang cukup matang dan dapat menilai pihak manakah yang perlu disokong ataupun ditolak

Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon yang merayu kepada rakyat supaya jangan diperdaya dengan hasutan pembangkang pada semalam.

Saya ingin mengingatkan Chong Sin Woon bahawa rakyat kini mempunyai pemikiran yang cukup matang dan dapat menilai pihak manakah yang perlu disokong ataupun ditolak. Jadi kenyataan Chong pada semalam seolah-olah memandang rendah keupayaan rakyat.

Chong sebagai Ketua Pemuda MCA dan Timbalan Menteri Pendidikan sepatutnya bertanya kepada diri sendiri mengapakah MCA ditolak oleh rakyat. Jangan lupa bahawa sebelum PRU Ke-12 MCA hampir memenangi kebanyakan kerusi yang ditandingi pada setiap pilihan raya, tentu sesuatu yang tidak berkenaan yang perlu diteliti oleh MCA tetapi bukanlah menunding jari kepada pihak pembangkang atas kekalahan mereka. Jikalau MCA benar-benar berkhidmat dengan ikhlas dan berani bersuara untuk rakyat, macam mana rakyat boleh tolak MCA?

Rakyat Malaysia khususnya masyarakat Cina tidak akan melupakan bahawa MCA telah cuba menakutkan masyarakat Cina sebelum PRU Ke-13 dengan pengumuman pemimpin parti tersebut tidak akan menerima sebarang jawatan di dalam kerajaan jika keputusan PRU Ke-13 tidak memuaskan. Walaupun keputusan PRU Ke-13 bagi MCA tidak memuaskan, tetapi MCA yang sepatutnya tidak menerima jawatan telah membuat “U-Turn” untuk menerima jawatan di dalam kerajaan. Jadi, ini telah menyebabkan rakyat jelata memandang rendah serta hilang kepercayaan terhadap MCA yang tidak berprinsip dan rakan-rakan seperjuangan di dalam BN juga tidak menghormati mereka yang dilihat lebih mementingkan jawatan.

Selepas MCA mendapat beberapa jawatan Menteri dan Timbalan Menteri, mereka pula gagal memastikan peruntukan kepada sekolah Cina yang telah pun dijanjikan oleh kerajaan ketika Bajet 2016 disalurkan kepada semua sekolah pada tahun 2016. Sehingga sekarang, semua sekolah masih menanti peruntukan ini, tetapi Menteri, Timbalan Menteri MCA seolah-olahnya terlalu sibuk sehingga terlepas pandang peruntukan yang begitu penting kepada sekolah-sekolah yang terlibat.

Keputusan PRU Ke-12 dan Ke-13 telah membuktikan bahawa pakatan pembangkang yang mendapat sokongan rakyat berpotensi untuk mengambil alih Kerajaan Negeri Sembilan daripada Barisan National. Pakatan pembangkang cuma ketinggalan 4 kerusi pada PRU Ke-12 dan 5 kerusi ketika PRU Ke-13. Dengan adanya kerjasama yang erat di antara DAP, Parti Keadilan Rakyat, Amanah dan juga Bersatu yang baru menyertai pakatan pembangkang, saya yakin pembangkang dapat melakukan sesuatu di Negeri Sembilan pada PRU Ke-14.

Kerajaan Pulau Pinang dan Negeri Selangor yang diterajui oleh Pakatan Harapan sejak 2008 telah menunjukkan prestasi yang amat baik. Selain daripada urus tadbir yang telus dan berintegeriti, banyak dasar yang mesra rakyat telah dilaksanakan dengan baik telah menerima sambutan yang baik dan sokongan daripada rakyat di kedua-dua negeri tersebut. Bukti yang paling baik adalah Chong Sin Woon selaku Ketua Pemuda MCA Selangor dan Naib Presiden MCA Chew Mei Fun yang sebelum ini aktif di Selangor tidak berani berdepan dengan pengundi di Selangor, tetapi mereka sedang aktif mencari peluang untuk bertanding di Negeri Sembilan dan Negeri Pahang.