Saya menggesa Ketua Polis Negara menegur tindakan Polis Melaka yang membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap individu yang menularkan video polis trafik melibatkan konvoi VIP dan sebuah ambulans. Ini bukan penguatkuasaan undang-undang, ini adalah intimidasi!
Individu tersebut bukan penjenayah. Beliau tidak mereka cerita, tidak memfitnah, dan tidak menghasut. Beliau hanya tersalah tafsir bunyi siren. Penjelasan polis sudah memadai. Mengheret orang awam ke siasatan jenayah atas kesilapan persepsi adalah penyalahgunaan kuasa yang tidak boleh diterima. Adakah Polis Melaka benar-benar tiada kes jenayah lain yang lebih serius untuk ditangani?
Lebih menjijikkan, bulan lalu video tanpa suntingan memaparkan wajah lelaki dalam keadaan bogel ketika serbuan di sebuah kelab di Kuala Lumpur tersebar ke seluruh negara. Kebocoran itu mencabul maruah, mengaibkan mangsa dan melanggar hak asasi. Namun sehingga hari ini, tiada seorang pun anggota polis dipanggil, disiasat atau didakwa secara terbuka. Diam. Senyap. Sunyi.
Mengapa seorang rakyat biasa disiasat kerana merakam polis trafik, tetapi anggota polis yang membocorkan video bogel orang awam dilindungi? Apakah undang-undang hanya keras terhadap rakyat, tetapi lembut terhadap pihak berkuasa?
Kenyataan bahawa “polis boleh merakam tetapi orang awam tidak boleh merakam” adalah hipokrasi tahap tertinggi. Ia menghina kecerdikan rakyat dan menghancurkan kepercayaan awam terhadap pasukan polis.
Saya menuntut kerajaan menghentikan segera budaya ugutan ini dan menyatakan dengan jelas: orang awam berhak merakam dan membuat siaran langsung semasa operasi polis selagi tidak mengganggu tugas penguatkuasaan. Ini adalah amalan asas di negara demokratik untuk mencegah salah guna kuasa.
Jika polis benar-benar bertindak mengikut undang-undang, mereka tidak sepatutnya takut kepada kamera. Yang patut takut hanyalah mereka yang menyalahgunakan kuasa.