Ingin saya tegaskan bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor masih merupakan suatu pertarungan yang sengit di antara Barisan Nasional (BN) dan DAP/Pakatan Rakyat (PR) walaupun dengan MCA yang mengecut untuk bertanding dalam PRK kali ini.
Misi kami dalam pertarungan ini amatlah jelas, supaya kita dapat memilih seorang wakil rakyat yang berani, berprinsip serta dapat memperjuangkan keadilan untuk semua lapisan masyarakat. RamKarpal Singh merupakan calon kami yang memenuhi kesemua kriteria tersebut di atas. Beliau adalah seorang peguam muda yang bersemangat kuat dan kami berharap dengan kemenangannya, dapatlah rintihan hati dan ketidakpuasan rakyat terhadap BN dapat disampaikan kepada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional.
Kebelakangan ini, rakyat terpaksa dibebankan dengan kenaikan harga minyak, kenaikan tarif elektrik yang sejurusnya menyebabkan kenaikan harga pelbagai barangan dan perkhidmatan. Walaupun begitu, Kerajaan BN masih bergagas untuk meluluskan Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam Parlimen supaya ianya dapat dilaksanakan mulai April 2015.
Inflasi yang melambung tinggi menyebabkan rakyat terpaksa menghadapi kesengsaraan hidup. Rungutan rakyat tidak diendahkan oleh Kerajaan BN. Peniaga atau penjaja yang terpaksa menaikkan harga barangan jualan akibat inflasi yang melambung pula terpaksa menghadapi tindakan undang-undang atau kompaun oleh Kerajaan BN. Ini merupakan suatu keadaan yang serba salah bagi rakyat yang berpendapatan rendah dan terpaksa mencari rezeki melalui perniagaan kecil-kecilan.
Negara kita turut dicabuli oleh golongan pelampau atau ektremis. Mereka menggunakan pelbagai helah untuk memecahbelahkan rakyat. Rakyat tidak diberi layanan dan peluang yang saksama sehingga peluang perniagaan, peluang pendidikan dan sebagainya dinafikan. Tiada penambahbaikan dari segi kualiti hidup dan kualiti pendidikan. Undang-undang tidak dilaksanakan secara adil malah pendakwaan secara selektif digunapakai. Gejala rasuah semakin berleluasa dan pemimpin-pemimpin yang rasuah pula dilepaskan. Slogan 1Malaysia telah berkecai!
Kita perlu selamatkan Malaysia, negaraku yang tercinta ini! Kita menggesa anak-anak Malaysia untuk menyokong DAP/Pakatan Rakyat supaya agenda-agenda perubahan yang kita perjuangkan selama ini dapat diteruskan. Janganlah kita berputus asa dengan keputusan PRU ke-13, di mana BN yang hanya menikmati undi popular 47% dapat terus menerajui pucuk pemerintahan negara. Mandat rakyat tidak dapat diterjemahkan melalui persempadanan SPR yang hanya memanfaatkan BN sahaja.
Sudah tibanya masa untuk kita memberi pengajaran yang lebih besar kepada BN yang angkuh melalui undi kita yang terus menyokong DAP/PR pada 25 Mei 2014. Pemerintahan Najib semakin kehilangan hala tuju menyebabkan imej dan reputasi negara kita tercemar di persada antarabangsa. Kita perlu mengekalkan kekuatan DAP/Pakatan Rakyat sebagai pembangkang yang efektif dalam Parlimen, termasuk juga melalui PRK Parlimen Teluk Intan.
Sebarang penambahan kerusi bagi BN dalam Parlimen akan menyebabkan BN lebih angkuh lagi sehingga suara rakyat tidak akan diendahkan lagi. Untuk memastikan negara kita tidak terpincang malah terus aman, sejahtera dan makmur, jadikanlah PRK Parlimen Bukit Gelugor dan PRK Parlimen Telok Intan sebagai referendum rakyat terhadap Barisan Nasional!