Skip to content

Insiden tembakan mati tiga lelaki di Melaka, isu kebocoran video serbuan “kelab songsang”, dan cara tangkapan terhadap Albert Tei oleh SPRM menimbulkan persoalan asas yang kerajaan masih gagal jawab: di manakah prinsip ketelusan yang dilaungkan selama ini?

Pada 24 November, tiga lelaki ditembak mati oleh polis di Melaka. Adakah anggota polis terlibat memakai bodycam? Adakah kenderaan mereka dilengkapi dashcam? Lebuhraya negara ini dipenuhi kamera, namun sehingga kini tiada satu pun rakaman operasi tersebut didedahkan.

Pada 28 November, lebih 200 lelaki ditahan dalam serbuan polis di sebuah kelab di Kuala Lumpur. Video tanpa suntingan yang memaparkan wajah lelaki dalam keadaan bogel sedang bermandi tersebar ke seluruh negara. Siapa yang membocorkan video itu? Adakah siasatan polis telah dimulakan?

Pada hari yang sama, SPRM melakukan serbuan besar-besaran ke rumah Albert Tei. Pegawai lengkap dengan jaket kalis peluru dan balaklava, manakala Tei digari seolah-olah operasi menangkap pengganas. Ketua Pesuruhjaya SPRM mengesahkan operasi tersebut dirakam, termasuk rakaman CCTV rumah Tei yang turut diserahkan kepada polis. Jika segala prosedur dipatuhi dan tiada apa yang disembunyikan, mengapa rakaman ini tidak didedahkan kepada umum?

Tiga insiden dalam tempoh seminggu, tetapi satu pola jelas muncul:
ketiadaan ketelusan, ketiadaan penjelasan, dan keengganan menunjukkan bukti.

Kenyataan “kami ada rakaman tetapi tidak boleh tunjuk” sudah tidak boleh diterima lagi. Sikap “kami boleh menyiasat, tetapi orang awam tidak boleh merakam” pula adalah hipokrasi tertinggi. Ia menghina kecerdikan rakyat dan merosakkan keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan.

Saya sekali lagi menyeru kerajaan melaksanakan satu langkah mudah untuk mengelakkan kekeliruan dan kontroversi: benarkan orang awam merakam atau membuat siaran langsung semasa operasi serbuan dan tangkapan, selagi mereka tidak mengganggu operasi penguatkuasaan. Ini adalah amalan biasa di banyak negara demokratik untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti.

Jika benar pihak berkuasa bertindak mengikut undang-undang dan tiada apa yang perlu disorokkan, apa sebenarnya yang ditakuti? Kerajaan sepatutnya menyokong penuh cadangan ini, bukan menghalangnya. (https://www.astroawani.com/berita-malaysia/merakam-polis-lakukan-serbuan-tangkapan-melalui-telefon-bimbit-satu-kesalahan-kdn-373895)

Kerajaan tidak boleh terus menuntut kepercayaan rakyat sedangkan rakyat tidak dibenarkan melihat kebenaran.