56 tahun selepas Merdeka, harapan dan aspirasi para pengasas negara ini tidak bersamaan dengan realiti generasi hari ini. Malaysia terus dilanda perpecahan kaum dan pelampau, membayangi serta merelakan kronisme, salahguna kuasa serta rasuah untuk terus berakar umbi.
Prestasi buruk Sistem Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) meskipun begitu banyak dana awam dilaburkan untuk mereka berbanding Air Asia Bhd menimbulkan begitu banyak tanda tanya. Walaupun tidak menerima satu sen pun dana awam, Air Asia begitu konsisten memberikan prestasi yang lebih baik berbandong MAS dengan kadar tambang yang lebih rendah, malah kini mempunyai permodalan pasaran yang lebih luas berbanding MAS, selain bilangan pesawat dan harga saham. Rakyat berhak mempersoalkan nilai wang yang dibelanjakan sebanyak RM19 bilion oleh Kerajaan Persekutuan sejak 1998 untuk memberikan MAS kekuatan untuk melunaskan hutang-hutangnya, termasuk menjamin pinjaman MAS berjumlah RM12.3 bilion.
Mematuhi sebuah sistem yang terbuka, telus dan akauntabel; institusi yang berasaskan peraturan akan memastikan bahawa hanya mereka yang benar-benar bersih, cekap dan mahir sahaja diamanahkan untuk menggalas tanggungjawab yang membabitkan amanah rakyat. Meraikan kepelbagaian secara terbuka akan membantu mengembalikan institusi persekolahan sebagai pusat memupuk perpaduan nasional dan bukannya tempat untuk mencetuskan kontroversi dan perpecahan kaum.
Sistem berasaskan hasil akan memastikan penyampaian kepada awam manakala prestasi yang baik akan pastikan membawa kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran untuk semua. Semakan terhadap unjuran kredit Malaysia daripada “stabil” kepada “negatif” oleh agensi Fitch Ratings adalah petanda kepada betapa seriusnya defisit belanjawan kerajaan Malaysia dengan kadar 4% daripada KDNK serta kedudukan keterhutangan yang menghampiri 70% jika diambil kira liabiliti tambahan.
Lebih teruk lagi ialah nisbah hutang isi rumah kepada KDNK yang berada pada kadar 83.5%, di mana separuh daripada pendapatan isi rumah rakyat miskin digunakan untuk pembayaran hutang. Jika Kerajaan Persekutuan benar-benar mahu menurunkan kadar hutang isi rumah, ia mesti merintis jalan dengan mengambil langkah untuk membanteras rasuah demi menurunkan hutang Kerajaan Persekutuan serta defisit belanjawan.
Rakyat Malaysian perlu kembali kepada idealisme demokrasi dan keadilan yang menjadi inspirasi kepada para pengasas negara seandainya kita mahu merealisasikan aspirasi kita yang benar, adil dan baik. Institusi berasaskan peraturan, meraikan kepelbagaian dan pentadbiran berasaskan hasil akan membantu untuk mewujudkan perpaduan nasional, integriti dan kemakmuran ekonomi untuk semua. Mari kita tunjukkan bahawa rakyat Malaysia boleh menjadi yang terbaik dan bukannya yang terburuk seperti yang didakwa oleh sesetengah ahli politik.