Skip to content

Ismail Sabri harus campur tangan secara terus dan menyelesaikan pembekuan sementara pekerja asing dari Indonesia untuk datang ke Malaysia

Perdana Menteri Ismail Sabri harus campur tangan secara terus dalam kegagalan yang membawa kepada pembekuan pekerja asing dari Indonesia bagi membaiki hubungan dengan Indonesia dan memastikan pertumbuhan ekonomi untuk mengatasi kemerosotan ekonomi global yang dijangka menjelang akhir tahun. Pada ketika Malaysia menghadapi tekanan inflasi dan kenaikan harga ditambah lagi dengan penyusutan nilai ringgit yang cepat, kekurangan buruh asing yang teruk telah memaksa banyak perniagaan mengurangkan operasi mereka atau menolak pesanan baharu.

Tidak pernah keadaan jadi seteruk ini sebelum ini. Disebabkan kekurangan 1.2 juta pekerja, industri perladangan dan sarung tangan getah sahaja menghadapi kerugian RM21 bilion dan kerugian boleh mencecah puluhan bilion ringgit lebih lagi jika sektor lain diambil kira bersama. Keadaan yang mendesak ini tidak boleh diterima kerana ia boleh diselesaikan dengan mudah dengan kuasa atau campur tangan secara terus oleh Perdana Menteri.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono telah mengumumkan pembekuan sementara pekerja asing dari Indonesia ke Malaysia, dengan mengutuk Malaysia “kerana mungkir janji dalam memorandum persefahaman (MoU)” yang ditandatangani oleh Menteri Sumber Manusia S. Saravanan berkenaan pembantu rumah Indonesia hanya tiga bulan lalu. S. Saravanan dengan tiada rasa malu dan tanggungjawab tidak mempertikaikan tuduhan Hermono tetapi hanya berkata bahawa Kementerian Sumber Manusia akan mengadakan perbincangan segera dengan Kementerian Dalam Negeri.

Daripada campur tangan secara terus dalam hal ekonomi dan diplomatik yang besar seperti ini, Ismail memilih untuk menugaskan dan mengarahkan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri untuk segera menyelesaikan isu memorandum persefahaman (MOU) berkenaan pengambilan pekerja Indonesia yang ditandatangani antara kedua-dua negara. Bagaimanakah kedua-dua Kementerian ini boleh menyelesaikan masalah itu sedangkan mereka yang bertanggungjawab menyebabkan masalah itu pada mulanya?

Ini adalah kes klasik seperti dinyatakan Albert Einstein bahawa “Kegilaan adalah melakukan perkara yang sama berulang kali dan mengharapkan hasil yang berbeza.” Ismail sepatutnya berhenti menugaskan masalah ini tetapi mengambil sendiri tanggungjawab apabila ekonomi negara, komuniti perniagaan dan rakyat mahukan penyelesaian segera. Ismail harus belajar untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian dan bukannya menjadi sebahagian daripada masalah supaya pertumbuhan ekonomi tidak terbantut akibat ketidakcekapan dan ketidakmampuan kerajaannya.