Persetujuan Kabinet Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk reformasi institusi politik bukan hanya perlu memiliki garis masa yang ditetapkan untuk pelaksanaannya tetapi yang lebih penting disertakan dengan reformasi dalam ekonomi dan penjagaan kesihatan awam. Hanya dengan pendekatan keseluruhan masyarakat terhadap reformasi dalam politik, ekonomi dan penjagaan kesihatan awam, barulah akan ada fokus bersama untuk memenangkan pertempuran melawan Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi yang sedang tenat bagi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat.
Perlu ada Rancangan Pemulihan Ekonomi berjumlah RM45 bilion dan pengecualian faedah dalam tempoh moratorium pinjaman bank serta peralihan daripada bantuan kecemasan “one-off” kepada bantuan kewangan berkala dan kerap untuk menormalkan ekonomi yang telah bertahan dengan lebih daripada RM500 bilion kerugian ekonomi bagi kembali menikmati pertumbuhan ekonomi yang mampan. Selain itu, Pelan Reset COVID-19 Negara diperlukan untuk beralih daripada dasar pembendungan yang bertujuan untuk menghapuskan COVID-19 kepada dasar mitigasi hidup bersama COVID-19.
Pembukaan semula ekonomi sepenuhnya akan memerlukan kombinasi vaksinasi dipercepatkan untuk mencapai imuniti kelompok dan pelaksanaan pemeriksaan ujian massa Cari, Uji, Kesan, Kuarantin and Sokong berserta Vaksinasi (FTTIS + V) seperti yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta memastikan hospital dan perkhidmatan kesihatan kita dikendalikan sepenuhnya dan diperuntukkan dengan katil ICU, ubat-ubatan, dan kemudahan yang mencukupi untuk merawat pesakit yang sakit. Kadar survival pesakit COVID-19 di hospital awam mestilah sama atau hampir dengan tahap di hospital swasta.
Kementerian Kewangan perlu segera menyuntik RM45 bilion untuk menambah Dana COVID-19 RM65 bilion yang hampir habis setelah hanya berbaki RM8.6 bilion untuk dibelanjakan bagi separuh kedua tahun 2021 berbanding RM18.4 bilion yang telah dibelanjakan untuk separuh pertama tahun 2021. Dengan RM38 bilion yang telah digunakan pada tahun 2020, ini bermaksud bahawa jumlah yang dibelanjakan di bawah Dana COVID-19 sehingga separuh pertama tahun 2021 berjumlah RM56.4 bilion.
Ini hanya berbaki RM8.6 bilion daripada Dana COVID-19 RM65 bilion untuk baki enam bulan 2021, kurang daripada 50% daripada RM18.4 bilion yang telah dibelanjakan untuk 6 bulan pertama tahun ini. Dengan kata lain, hanya RM27 bilion yang akan dibelanjakan pada tahun 2021 berbanding RM38 bilion pada tahun 2020 untuk memerangi COVID-19 dan memberikan bantuan kewangan.
RM8.6 bilion tidak mencukupi untuk bertempur dan memenangi COVID-19 atau mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan pada separuh kedua tahun ini. Sekiranya RM38 bilion dapat dibelanjakan untuk memerangi COVID-19 dan untuk bantuan kewangan pada tahun 2020, RM27 bilion untuk tahun 2021 pasti tidak mencukupi. Apa yang diperlukan adalah suntikan segera sebanyak RM45 bilion untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat.
Tujuh reformasi politik yang digariskan oleh Ismail semalam berdasarkan pada apa yang ditawarkan oleh bekas Perdana Menteri Mahiaddin Md Yassin yang gagal dalam usaha terakhir untuk menyelamatkan kerajaannya, tetapi ditolak oleh pembangkang kerana tidak boleh dipercayai. Sebagai Perdana Menteri yang baru dan untuk menunjukkan keikhlasan dan komitmen bahawa dia serius dalam melaksanakan reformasi ini, Ismail perlu melakukan jauh lebih baik daripada pendahulunya, terutama reformasi dalam ekonomi dan penjagaan kesihatan awam.