Skip to content

Ismail Sabri perlu lanjutkan moratorium pinjaman bank dan pengecualian faedah yang akan tamat pada akhir Februari 2022 selama 6 bulan lagi

DAP menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri melanjutkan moratorium pinjaman bank dan pengecualian faedah yang akan tamat pada penghujung Januari atau Februari 2022 selama 6 bulan lagi. Banyak aduan diterima mengenai sentimen perniagaan dan keadaan ekonomi yang lemah ditambah dengan kenaikan harga barangan.

Walaupun Jabatan Perangkaan (DOS) melaporkan bahawa inflasi tahunan meningkat sebanyak 2.5% pada 2021 berbanding 1.2% deflasi yang dialami pada 2020, realiti di bawah adalah kenaikan harga barangan yang jauh lebih tinggi, terutamanya barang makanan. DOS melaporkan bahawa indeks harga pengguna (IHP) bagi Dis 2021 melonjak kepada 3.2% berbanding bulan yang sama pada 2020, melepasi purata kadar inflasi IHP bulanan sepanjang sedekad lalu (2011-2021) sebanyak 1.9 peratus.

DOS sendiri mengakui bahawa kenaikan IHP sebahagiannya didorong oleh harga barangan yang lebih tinggi bagi makanan dan minuman bukan alkohol, khususnya ayam, minyak masak dan sayur-sayuran. Lanjutan moratorium pinjaman bank dan pengecualian kadar faedah selama 6 bulan akan membantu menyelamatkan nyawa dan mata pencarian. Industri perbankan mampu memikul beban ini apabila mereka dianggarkan mencatatkan keuntungan selepas cukai setinggi RM20 bilion bagi tahun 2021 walaupun menanggung kos pengecualian kadar faedah sebelum ini dan moratorium pinjaman bank tahun lalu.