Sudah tiba masanya untuk Perdana Menteri Ismail Sabri bertindak tegas dengan menyatakan secara jelas tarikh pilihan raya umum akan datang. Dengan terus membuat seluruh negara gelisah, Ismail bukan sahaja mengganggu pentadbiran kerajaan tetapi juga iklim pelaburan di negara ini. Setiap hari beliau memilih untuk melengahkan pengumuman tarikh pilihan raya, beliau akan kelihatan semakin lemah.
Sektor perniagaan benci kepada ketidakpastian dan akan menangguhkan keputusan pelaburan sehingga terdapat kepastian, kejelasan dan konsistensi dalam dasar kerajaan. Semua ini tidak mungkin berlaku dengan kerajaan yang kini berada dalam demam pilihan raya yang teruk dengan drama terbaru sama ada Ismail Sabri akan membubarkan Parlimen esok apabila beliau mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi perjumpaan mingguan.
Menjelang esok, sama ada Parlimen dibubarkan, atau Ismail Sabri harus menyatakan dengan jelas bila tarikh tepat pilihan raya untuk menghapuskan ketidaktentuan perniagaan yang akan memberi kesan buruk kepada pasaran dan pembuatan keputusan pelaburan. Jika Parlimen dibubarkan esok walaupun negara berada di tengah-tengah musim tengkujuh dan banjir teruk, maka jelaslah Ismail sanggup mengorbankan mereka yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa dan harta benda ketika banjir semasa tempoh kempen pilihan raya.
Demi Kepentingan Negara Dan Politik Ismail Sabri, Pilihan Raya Lebih Baik Diadakan Tahun Depan.
Sehingga kini tidak ada gabungan rancangan banjir dan pilihan raya umum yang dikemukakan oleh kerajaan. Ini adalah semata-mata keputusan politik yang tidak bertanggungjawab dan permainan kuasa untuk memenangi pilihan raya dengan segala cara walaupun dengan harga kehilangan nyawa dan harta benda akibat banjir. Walaupun pembangkang telah menasihatkan Ismail bahawa adalah lebih baik untuk membuat Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi marah daripada mengundang kemarahan alam, Ismail mesti menghapuskan ketidakpastian mengenai tarikh pilihan raya untuk selama-lamanya.
Ismail Sabri juga harus tahu bahawa walaupun sekarang beliau mempunyai kuasa sebagai Perdana Menteri, kuasanya hilang serta-merta sebaik sahaja beliau membubarkan Parlimen. Kuasa yang diberikan kepadanya kemudiannya akan dipindahkan dengan serta-merta kepada Ahmad Zahid yang memegang nasib politik setiap calon pilihan raya UMNO di tangannya. Adalah demi kepentingan negara dan politik Ismail sendiri untuk mengadakan pilihan raya tahun depan.