Skip to content

Ismail Sabri tidak bertanggungjawab kerana mengutamakan insiden penderaan lisan yang didakwa berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur berbanding mengambil tindakan tegas dan tanpa kompromi terhadap mereka yang terlibat dalam Skandal RM9 bilion Kapal Tempur Littoral (LCS)

Perdana Menteri Ismail Sabri tidak bertanggungjawab kerana mengutamakan insiden penderaan lisan oleh pegawai kanan kerajaan yang didakwa berlaku di KLIA, berbanding mengambil tindakan segera yang tegas dan tanpa kompromi terhadap mereka yang terlibat dalam skandal LCS RM9 bilion. Ismail Sabri semalam berkata Kabinet telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali untuk menubuhkan satu jawatankuasa dalaman bagi menyiasat insiden KLIA yang membabitkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Shafiq Abdullah kerana didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai imigresen.

Hari ini, Kerajaan telah bertindak pantas dengan membentuk jawatankuasa empat anggota peringkat tinggi diketuai Peguam Negara Idrus Harun untuk menyiasat dakwaan penderaan lisan itu. Anggota lain ialah Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid, dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Sebaliknya, Ismail setakat ini gagal membuat sebarang komen atau mengambil sebarang tindakan sejak Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen dan Ahli Parlimen Ipoh Timor Wong Kah Woh menerbitkan penemuan mereka minggu lepas untuk menuntut hukuman terhadap mereka yang bertanggungjawab meluluskan RM9 bilion untuk membeli 6 LCS yang dibina oleh Boustead Naval Shipyard. Pada tahun 2011, kerajaan memilih untuk menukar Sigma LCS kepada GOWIND LCS bertentangan dengan nasihat Tentera Laut Diraja Malaysia. Walaupun telah membayar lebih daripada RM6 bilion, tiada satu pun LCS disiapkan.

Jika jawatankuasa peringkat tinggi sebegini boleh dibentuk berhubung dakwaan insiden penderaan lisan di KLIA, mengapa jawatankuasa peringkat tinggi yang serupa tidak dibentuk untuk bertindak dan menghukum mereka yang bertanggungjawab terhadap skandal RM9 bilion LCS? DAP tidak ada bantahan jika kerajaan menganggap jawatankuasa peringkat tinggi itu perlu untuk menyiasat dakwaan insiden penderaan lisan tersebut, tetapi perhatian dan kepentingan yang sama harus diberikan kepada skandal LCS apabila RM6 bilion telah dibayar tanpa mendapat satu kapal pun.

Ismail perlu sedar bahawa RM6 bilion telah dibayar dan mungkin hilang tanpa satu kapal pun disiapkan, adalah perkara kepentingan awam yang menuntut akauntabiliti dan ketelusan penuh. Laporan PAC mendedahkan salah guna kuasa, penipuan dan malah penyelewengan dana. RM6 bilion dana awam adalah jumlah wang yang sangat besar, dan pastinya patut sama dipandang berat jika tidak lebih berat lagi berbanding dengan insiden penderaan lisan yang didakwa berlaku.

Orang ramai mahu tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab memandangkan semua siasatan telah diselesaikan oleh PAC. Namun, penemuan PAC tidak layak untuk pembentukan jawatankuasa peringkat tinggi yang sama seperti insiden penderaan lisan yang didakwa berlaku. Sikap berdiam diri dan berpeluk tubuh Ismail terhadap skandal RM9 bilion LCS adalah gambaran yang menyedihkan tentang kekurangan pertimbangan yang bijaksana untuk membezakan antara apa yang betul dan salah serta perkara yang perlu diutamakan untuk mentadbir negara dengan baik.