1. Dalam perbahasan Parlimen mengenai “LAPORAN TAHUNAN DAN PENYATA KEWANGAN SURUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA MALAYSIA (SUHAKAM) BAGI TAHUN 2021 DAN 2022” hari ini, saya telah mencadangkan satu penyelesaian jangka pendek untuk isu hak asasi manusia tanpa kewarganegaraan, iaitu dengan memberikan dokumen pengenalan sementara kepada golongan tanpa kewarganegaraan bagi menjamin hak asasi mereka.
2. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) baru-baru ini telah menjalankan satu kajian terperinci mengenai hak asasi manusia dan masalah tanpa kewarganegaraan di Semenanjung Malaysia. Kajian tersebut bertujuan untuk mengenal pasti punca masalah tanpa kewarganegaraan serta mengkaji impak golongan tanpa kewarganegaraan terhadap ekonomi, sosial, dan budaya.
3. Berdasarkan hasil kajian tersebut, SUHAKAM telah mengemukakan enam syor yang merangkumi penambahbaikan daripada kerangka undang-undang hingga ke tatakelola pentadbiran, bagi memberikan layanan yang lebih adil dan berperikemanusiaan kepada golongan tanpa kewarganegaraan serta meningkatkan kualiti hidup mereka.
4. Dalam perbahasan di Parlimen, saya turut bertanyakan kepada kerajaan, terutamanya Kementerian Dalam Negeri, mengenai tindakan susulan terhadap cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh SUHAKAM dan hasil pelaksanaannya. Saya menegaskan bahawa golongan tanpa kewarganegaraan menghadapi cabaran besar dalam mendapatkan hak asasi seperti pendidikan, perubatan, pekerjaan dan perlindungan sosial kerana mereka tidak diiktiraf secara rasmi oleh negara, yang menyebabkan mereka mudah dieksploitasi dan didiskriminasi.
5. Saya menekankan: “Golongan tanpa kewarganegaraan ini tiada tempat lain untuk berteduh selain Malaysia. Mereka dilahirkan dan dibesarkan di sini, ini adalah satu-satunya tanah air mereka. Menafikan hak asasi mereka hanya akan membawa masalah sosial yang lebih besar di masa depan.”
6. Memandangkan sensitiviti dalam menangani isu tanpa kewarganegaraan, sementara menunggu penyelesaian jangka panjang, Saya mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan mekanisme untuk memberikan dokumen pengenalan sementara kepada golongan tanpa kewarganegaraan agar mereka sekurang-kurangnya dapat menikmati hak asas seperti pendidikan, pekerjaan dan jaminan sosial.
7. Dokumen pengenalan sementara ini bukan sahaja dapat menyelesaikan kebanyakan masalah yang dihadapi oleh golongan tanpa kewarganegaraan, malah juga dapat memenuhi keperluan pasaran buruh negara kita, sekali gus meningkatkan produktiviti dan daya saing negara di peringkat antarabangsa.
8. Saya juga mencadangkan agar SUHAKAM menubuhkan pasukan petugas khas untuk menggerakkan dan memantau pelaksanaan reformasi isu orang tanpa kewarganegaraan. Langkah ini bukan sahaja bertujuan untuk melaksanakan enam syor daripada kajian terperinci mengenai hak asasi manusia dan masalah tanpa kewarganegaraan di Semenanjung Malaysia sebagai penyelesaian jangka panjang, tetapi juga untuk menggerakkan penyelesaian jangka pendek yang sesuai bagi mengurangkan masalah sosial yang mungkin timbul sementara menunggu pelaksanaan langkah jangka panjang.
9. Kita perlu sedar bahawa golongan tanpa kewarganegaraan adalah sebahagian daripada masyarakat kita dan kesusahan mereka juga adalah tanggungjawab kita. Dengan memberikan dokumen pengenalan sementara, kita bukan sahaja menjamin hak asasi mereka, tetapi juga menyumbang kepada kestabilan dan pembangunan negara. Saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan ini dengan serius, membantu golongan tanpa kewarganegaraan mendapatkan hak mereka yang sewajarnya, dan bersama-sama membina masyarakat yang lebih inklusif dan adil.