Skip to content

Isu Kewarganegaraan perlu pendekatan menyeluruh

Saya sambut baik pengumuman Menteri Dalam Negeri semalam bahawa KDN akan berusaha untuk pinda Perlembagaan Persekutuan.

Walau bagaimanapun, saya kurang setuju dengan keputusan KDN untuk meneruskan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan ambil masa yang panjang. Beribu-ribu anak warga Malaysia perempuan yang dilahirkan di luar negara masih menunggu tindakan segera untuk menamatkan penderitaan mereka.

KDN wajib contohi Menteri Undang-Undang yang buat keputusan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tentang kes Undi18, supaya sementara menunggu pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dibuat, masalah yang dihadapi oleh warga Malaysia perempuan dan anak mereka dapat diselesaikan dengan segera.

Pada masa yang sama, KDN juga harus mengkaji isu yang dihadapi oleh golongan lelaki Malaysia. Untuk lelaki Malaysia yang tidak mendaftarkan perkahwinan mereka dengan warga bukan Malaysia, anak mereka walaupun dilahirkan di Malaysia tidak berhak untuk dapat kewarganegaraan secara automatik.

Bagi 2019 hingga 2020, 6,489 permohonan untuk kewarganegaraan di bawah Perkara 15A telah dibuat tetapi hanya 2,969 sijil kewarganegaraan telah dikeluarkan.

Hanya tiga negara di dunia ini yang tidak mengiktiraf hak bapa untuk mendapatkan kewarganegaraan bagi anak mereka yang lahir di luar perkahwinan, dan Malaysia merupakan salah sebuah negara tersebut. Pada masa yang sama, Malaysia juga merupakan satu daripada 25 negara yang menafikan ibu daripada memperolehi hak setara seperti bapa untuk mendapatkan kewarganegaraan bagi anak mereka.

KDN harus meneliti isu kewarganegaraan secara menyeluruh supaya hak kedua-dua lelaki dan wanita warga Malaysia dipertahankan.