DS Ismail Sabri kata Kerajaan tidak pernah abai isu LCS. Beliau kata tindakan telah diambil dan SPRM juga telah melakukan siasatan dan pendakwaan.
Saya amat kecewa kerana DSIS berpendapat begitulah bermakna berakhirnya skandal LCS di mata Kerajaan BN-PN.
Sehingga kini Kerajaan BN-PN masih gagal untuk mengemukakan hala tuju LCS dengan jelas. Bila akan disiapkan, dan berapa wang Rakyat tambahan perlu dibelanja disebabkan kegagalan projek LCS. RM3 bilion lagi? RM5 bilion lagi? RM9 bilion lagi?
Pendakwaan SPRM yang dimaksudkan itu adalah berkenaan dengan peristiwa yang berlaku pada tahun 2010. Apa terjadi dengan siasatan SPRM bagi perkara yang berlaku sejak tahun 2011 (tahun projek LCS diluluskan) sehingga kini? Tak dengar apa langsung pun.
Apa yang lebih penting adalah, Kerajaan BN-PN GAGAL dalam menyusun satu rancangan untuk melindungi wang pencen Angkatan Tentera dalam LTAT akibat daripada kegagalan Projek LCS.
Mungkin DSIS tidak perasan, CEO LTAT Dato Ahmad Nazim pernah menyatakan dalam PAC seperti berikut:
“… sekiranya situasi ini berlarutan, ia akan mendedahkan Kumpulan Boustead kepada suatu cross default loan, yang selanjutnya mendedahkan Boustead Group tergelincir dalam Status PN 17. Jika ini berlaku, LTAT sendiri menjangka ada “potential wiping out of about RM2. 1 billion of the pension fund money at LTAT.”
CEO Boustead Sharifuddin pula pernah nyatakan:
“…sekiranya BNS tidak ada lagi, Boustead Holdings dan LTAT akan terkesan teruk. Sektor Perladangan, Pharmaniaga, Boustead Properties dan Boustead Hotels semua akan terkesan.
Perkara ini berkemungkinan menyebabkan LTAT untuk kehilangan sehingga 46% saiz dananya.”
Apakah tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan BN-PN dalam menjamin wang pencen Angkatan Tentera LTAT yang ternyata terjejas akibat skandal LCS?
Saya tidak nampak apa-apa komitmen daripada Kerajaan BN-PN atau DSIS.
Saya berharap, apabila Menteri Pertahanan sekarang sedang sibuk membawa calon-calon BN melawat kem-kem tentera sebelum undi awal pada hari esok, patutlah juga MENHAN maklumkan kepada kami apakah jaminan beliau terhadap perlindungan dana pencen LTAT.
GAGAL, Kerajaan BN-PN GAGAL.