Skip to content

Isu pelantikan Yang di-Pertua Negeri Melaka yang baharu

Kebelakangan ini terdapat banyak desas-desus mengenai pelantikan Yang di-Pertua Negeri Melaka yang baharu.

Pihak media telah menamakan beberapa calon yang dikhabarkan akan dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri yang baharu. Antara calon-calon tersebut ialah Ali Rustam, bekas Ketua Menteri Melaka, dan Zahid Mat Arip, bekas setiausaha politik Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Khabar tersebut telah menimbulkan keraguan di kalangan rakyat Melaka terhadap kesesuaian individu yang dicalonkan.

Untuk rekod, Ali Rustam dan tiga orang ejennya telah didapati bersalah oleh lembaga disiplin UMNO pada tahun 2009 kerana terlibat dalam politik wang.

Zahid Mat Arip pula mempunyai kaitan dengan kes rasuah bekas pengerusi FELDA, Isa Samad, yang sedang berlangsung di mahkamah.

Isu ini juga menimbulkan persoalan yang lebih besar mengenai proses dan kriteria pelantikan Yang di-Pertua Negeri.

Menurut perkara 19A(1) Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertua Negeri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Ketua Menteri

Maka, Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali, memainkan peranan yang penting dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Menteri Melaka telah menyatakan pada 18 Mei 2020 bahawa beliau tidak tahu apa-apa mengenai pelantikan Yang di-Pertua Negeri yang baharu. Penafian ini adalah tidak bertanggunjawab dan tidak boleh diterima.

Atas prinsip demokrasi, seseorang Ketua Menteri wajar memastikan ketelusan dalam proses pelantikan Yang di-Pertua Negeri. Individu yang dilantik hendaklah seorang yang berintegriti, bebas, dan mendapat kepercayaan awam.

Contohnya, Yang di-Pertua Negeri yang baharu boleh dilantik di kalangan penjawat awam yang sudah bersara atau pemimpin NGO tempatan. Pencalonan boleh dilakukan berdasarkan kewibawaan dan pencapaian individu tersebut.

Pada masa yang sama, individu-individu yang mempunyai rekod tercemar atau perkaitan politik yang kuat tidak wajar dicalonkan.

Kerajaan juga boleh mendemokrasikan lagi proses ini melalui pengundian awam. Keputusan pengundian boleh digunakan sebagai indikator kepercayaan awam terhadap seseorang individu sebelum Ketua Menteri membuat keputusan mencalonkan individu tersebut.

Yang di-Pertua Negeri sangat penting dalam pentadbiran negeri. Fungsi dan peranan Yang di-Pertua Negeri meliputi perkara-perkara seperti kuasa pengampunan, sumber kehormatan dan kedaulatan, pelantikan Ketua Menteri, dan pembubaran Dewan Undangan negeri.

Saya menyeru agar Ketua Menteri dan pemimpin-pemimpin di Melaka lebih berhemah dalam isu ini. Pelantikan Yang di-Pertua Negeri yang baharu akan mencerminkan dasar dan sikap kerajaan PN dalam pentadbiran.