Kerajaan telah melantik kontraktor baru pada 5 Februari 2015 untuk menyiapkan projek Bangunan Tambahan IPK Johor yang terbengkalai. Perkara ini sudah menjadi satu projek sakit kerajaan yang merugikan dan membelanjakan wang rakyat.
Berdasarkan jawapan yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri dalam sidang parlimen baru-baru ini, kos asal projek tersebut sepatutnya hanya menelan belanja sebanyak RM103,556,694.84 sahaja. Parlimen dimaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia telah melakukan pembayaran sebanyak RM48,321,699 kepada kontraktor asal iaitu Global Globe Sdn. Bhd dengan baki yang belum dibayar sebanyak RM55,234,995.84.
Oleh kerana kegagalan kontraktor asal menyiapkan projek tersebut, kerajaan terpaksa melantik kontraktor baru iaitu QSE Construction Sdn. Bhd untuk meneruskan kerja pembinaan dan kos kontrak baru adalah sebanyak RM72.8 juta. Ini bermakna kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan sebanyak RM17.6 juta Ringgit untuk menyiapkan projek ini.
Walaupun kontraktor asal dikenakan Denda Tidak Siap Kerja (LAD) pada kadar RM17,190.41 sehari bagi tempoh bermula 19 Julai 2013 sehingga 9 Februari 2014 (206 hari), Denda Tak Siap Kerja (LAD) yang sebanyak RM3,541,224.46 ini tidak mencukupi untuk menanggung kos tambahan yang sebanyak RM17.6 juta. Tambahan pula, denda ini masih belum dibayar oleh syarikat Global Globe Sdn Bhd sampai hari ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Ahmad Zahid Hamidi masih belum memberi penjelasan kepada rakyat samada kontraktor ini adalah dilantik secara tender terbuka. Tambahan lagi, tidak apa penjelasan daripadanya terhadap tuduhan seorang pemimpin Umno dinamakan sebagai pengarah eksekutif bagi syarikat kontraktor Global Globe Sdn. Bhd. Rakyat berhak untuk mengetahui samada kerajaan telah melantik kroni sendiri yang kurang berkemanpuan.
Oleh demikian, saya minta penjelasan lebih terperinci daripada Ahmad Zahid Hamidi mengenai isu projek terbengkalai IPK Johor kerana ia telah merugikan rakyat dan berkaitan dengan soal keselamatan negara.