1. Saya merujuk kepada tindakan Dewan Pemuda PAS yang ingin menganjurkan perhimpunan membantah Akta Pembangunan Semula Bandar (PSB). Realitinya, bantahan tersebut langsung tidak berasaskan fakta, sebaliknya hanyalah cubaan terdesak untuk mengalihkan perhatian daripada krisis dalaman Perikatan Nasional (PN) susulan kekalahan mereka di PRK Ayer Kuning.
2. Sekiranya Akta PSB ini benar-benar memudaratkan rakyat seperti yang didakwa PAS, mengapa Pemuda PAS tidak menggerakkan perhimpunan untuk membantah sejak awal semasa kandungan draf akta ini dipaparkan berbulan-bulan yang lalu? Mengapa memilih tarikh 14 Jun untuk berhimpun, iaitu selepas mereka mengalami kekalahan PRK yang memalukan?
3. Tindakan Pemuda PAS sebegini mencerminkan bahawa tujuan sebenar himpunan tersebut bukanlah untuk membela rakyat, tetapi untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalan mereka sendiri, selepas rakyat berbilang kaum semakin menolak politik ekstrem dan perpecahan yang dibawa oleh PAS.
4. Lebih ironik, ketika Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjemput semua pihak termasuk pembangkang untuk menyertai lawatan ke kawasan flat usang dan daif di sekitar Lembah Klang, kesemua waikil rakyat PAS memilih untuk tidak hadir. Mereka sepatutnya melihat sendiri realiti kehidupan rakyat marhaen sebelum membuat dakwaan liar terhadap dasar kerajaan.
5. Tindakan PAS menolak Akta PSB sebenarnya telah menafikan hak rakyat miskin yang terperangkap dalam rumah flat usang untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik, selamat dan bermaruah.
6. Hakikatnya, matlamat utama PSB adalah untuk memberikan peluang kepada penduduk yang telah sekian lama menghuni bangunan uzur untuk berpindah ke perumahan baharu yang lebih selamat, dengan sokongan rangka undang-undang yang lebih telus dan adil.
7. Lebih malang lagi, Pemuda PAS membantah tanpa menawarkan sebarang alternatif. Mereka hanya tahu menentang, tetapi tidak mempunyai sebarang pelan konkrit bagi menyelesaikan permasalahan rakyat miskin bandar.
8. Di samping itu, Pemuda PAS turut mengelirukan rakyat dengan mengatakan bahawa penurunan ambang persetujuan daripada 100% kepada 70% akan memudaratkan penduduk asal. Sedangkan dalam realiti pelaksanaan di mana-mana negara pun, adalah mustahil untuk mendapatkan 100% persetujuan. Jika terus berpegang kepada ambang 100%, semua rakyat akan terus terperangkap dalam bangunan yang uzur dan berisiko.
9. Bukannya semua kerosakan dapat dibaiki, sama seperti kereta usang yang tidak boleh ditukar tayar sahaja sekiranya enjinnya sudah tidak berfungsi. Banyak flat yang berusia 50-60 tahun sudah tidak lagi sesuai untuk dibaikpulih dan memerlukan pembinaan semula.
10. PAS kononnya berbicara soal keadilan tempat tinggal, namun di negeri-negeri di bawah pentadbiran PN & PAS, infrastruktur asas yang baik seperti bekalan air pun gagal disediakan. Apakah kredibiliti PAS untuk berbicara tentang keadilan perumahan?
11. Jika Pemuda PAS benar-benar prihatin terhadap hak rakyat miskin, mereka sepatutnya berhimpun di depan ibu pejabat PAS, membantah kegagalan kepimpinan mereka sendiri di negeri-negeri yang ditadbir oleh PN.
12. Kerajaan Madani sentiasa bersedia menerima kritikan yang membina dan berlandaskan fakta. Namun kami menolak politik murahan yang hanya menyebarkan fitnah, mencetuskan kebencian dan mengelirukan rakyat.
13. Pemuda PAS harus mengkaji dan memahami kandungan sebenar Akta Pembangunan Semula Bandar. Bertindak untuk membantah semata-mata demi kepentingan politik sempit hanya membuktikan bahawa PAS disahkan sebagai pembangkang yang paling GAGAL sekali dalam sejarah Malaysia.