Pada 11 Januari 2008 telah berlaku satu insiden yang tidak diingini di Masai, Johor. Sebuah kuil Hindu bernama Sri Siva Sakthi Sri Sinna Karuppan Alayam telah dirobohkan dengan pengetahuan kerajaan.
Isu ini telah menjadi isu nasional menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak. Dalam sebuah negara bermasyarakat majmuk kejadian seperti ini perlu dielakkan sama sekali. Nyata sekali, kita tidak mahu melihat negara kita menghadapi masalah perkauman yang serius. Tetapi, setiap rakyat termasuk pihak kerajaan harus berhati-hati dalam isu-isu yang telah menimbulkan sensitiviti perkauman dan merosakkan keamanan dan kesejahteraan negara.
Isu kuil yang dirobohkan di Masai, Johor telah mengungkitkan kemarahan orang-orang India khususnya yang beragama Hindu. Amat menyakitkan hati melihat keadaan kuil yang dirobohkan tanpa penghormatan diberikan kepada prinsip amalan agama secara bebas seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
Setiap agama perlu dihormati supaya tidak wujud rasa benci membenci dikalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama. Setelah mengambil kira secara teliti kepentingan isu kesejahteraan dan keamanan negara, saya telah memutuskan untuk menanyakan satu soalan lisan kepada Perdana Menteri berhubung dengan insiden roboh kuil di Masai, Johor baru-baru ini.
Saya telah meminta Perdana Menteri menyatakan secara terperinci insiden yang berlaku di Masai, Johor dimana sebuah kuil Hindu bernama Sri Siva Sakthi Sri Siva Karuppan Alayam telah dirobohkan pada 11 Januari 2018 terang-terang dilakukan dengan pengetahuan kerajaan. Memandangkan isu ini boleh menimbulkan sensitiviti agama dan menjejaskan perpaduan, apakah langkah-langkah kerajaan menangani masalah ini?
Malangnya, soalan saya telah ditolak oleh pejabat Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat. Alasan yang diberikan itu adalah tidak boleh dikeluarkan berhubung dengan apa-apa perkara yang terkandung dalam Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Saya telah bangkit di Dewan Rakyat menjelaskan kepada Tuan Yang Dipertua Tan Sri Pandekar Amin bahawa soalan saya tidak melibatkan Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Tempatan. Isu yang saya bangkitkan itu adalah mengenai soal keamanan, kesejahteraan dan perpaduan rakyat.
Memandangkan Jabatan Perdana Menteri mempunyai seorang menteri yang khas menjaga portfolio perpaduan negara, maka adalah menjadi tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri menjawab soalan yang saya bangkitkan. Tambahan pula, ketika insiden itu berlaku, pihak PDRM juga turut terlibat membantu pihak yang merobohkan kuil itu.
Oleh kerana PDRM juga merupakan satu agensi Kerajaan Persekutuan Persekutuan, maka adalah wajib untuk Menteri Kerajaan Persekutuan mengambil tanggungjawab dan memberi penjelasan mengenai isu kuil ini.
Tuan Yang Dipertua memaklumlan Dewan Rakyat bahawa beliau akan melihat semula soalan saya dan mempertimbangkannya. Harap Tuan Yang Dipertua akan membenarkan soalan saya dijawab oleh Menteri yang bertanggungjawab untuk kepentingan seluruh rakyat Malaysia.